Jangan leka, mungkin ada banjir gelombang ketiga di Kelantan - MB

Muhafandi Muhamad
Disember 24, 2020 11:39 MYT
Ahmad bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff pada pelancaran Program Kembara Prihatin Negara 2020 di pekarangan Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Banjir di negeri ini beransur pulih dengan hanya 240 mangsa banjir membabitkan 104 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini.
Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan gelombang seterusnya.
Katanya, banjir gelombang ketiga diramalkan berlaku bermula 27 Dis ini seperti yang dilaporkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Apabila ada maklumat ramalan ini, kita minta rakyat bersedia lebih awal. Jadi, kita nasihat rakyat kita supaya buat persiapan untuk hadapi apa jua kemungkinan,” katanya.
Ahmad berkata, pihak kerajaan negeri masih belum membuat bancian kesan banjir baru baru ini namun peruntukan bantuan sudah disediakan.
Setiap wakil rakyat mempunyai tabung bantuan bencana dan Tabung Serambi Mekah yang boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir di kawasan masing-masing, tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh mangsa banjir di PPS, katanya beliau berpuas hati berdasarkan lawatannya baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, sesetengah PPS mampu menampung bilangan mangsa banjir yang melebihi had, sehingga mengabaikan penjarakan fizikal.
Beliau juga sekali lagi menasihatkan rakyatnya supaya tidak alpa dan bermain air ketika musim banjir ini.
#Menteri Besar #Ahmad Yakob #PPS #mangsa banjir #mati lemas #pusat pemindahan #banjir #kerajaan #mangsa #bantuan #peruntukan #bancian #tabung
;