'Jangan leka kemasukan ke hospital sedikit, lama-lama boleh jadi bukit' - Pakar

Madiha Abdullah
Februari 17, 2022 06:06 MYT
Kerajaan menyeru agar orang ramai membawa anak masing-masing menyertai PICKids dan segera menerima vaksin COVID-19 seperti ditetapkan. - Gambar hiasan BERNAMA
KUALA LUMPUR: Biarpun jumlah kemasukan ke hospital dan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan sangat sedikit berbanding jumlah kes harian COVID-19, namun ia bukan alasan untuk orang ramai leka.
Pakar kesihatan awam Dr Farhan Rusli berkata, tahap penularan jangkitan varian Omicron yang tinggi merupakan faktor penting untuk diambil kira kerana jika tidak dikawal, ia masih berpotensi menjejaskan sistem kesihatan.
"Kita kena faham pergerakan Omicron dan bagaimana ia mudah menular dengan kadar jangkitan kira-kira empat kali ganda. Dari segi kesiapsiagaan, Kementerian Kesihatan berada di tahap terbaik tetapi daripada apa yang diberitahu Menteri Khairy Jamaluddin pada sidang media hari ini, ada sedikit kenaikan.
"Sikit-sikit, lama-lama boleh jadi bukit. Jadi, semua pihak kena ambil tanggungjawab untuk memastikan kita tidak menjadi individu yang menularkan jangkitan, terutama dalam kalangan mereka yang belum menerima vaksin.
"Cuba bayangkan kalau setiap hari 100 orang masuk ICU (unit rawatan rapi), pastinya ia akan beri kesan pada sistem kesihatan kita," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI semalam.
Dr Farhan juga meluahkan rasa terkilan kerana ramai dalam kalangan orang Melayu masih belum mendapatkan dos penggalak walaupun sudah lengkap menerima dua dos vaksin sebelum ini.
"Ini situasi yang pelik kerana mereka sudah ambil dua dos tapi enggan pula ambil booster. Ramai yang mendakwa itu ini, kesan daripada booster tetapi tiada asas pada dakwaan itu. Kesannya, ia membuat orang lain merasa ragu.
"Kalau anda tidak mahu ambil booster, simpan sahajalah pendapat itu untuk diri sendiri. Jangan hasut orang lain kerana jika berlaku jangkitan dalam komuniti, adakah anda mahu bertanggungjawab? Tentu tidak.
"Yang sakit tetap perlu diserahkan masuk hospital, dan apabila ditanya kenapa tak ambil booster, katanya kerana ada yang beritahu jangan ambil. Yang menyebarkan dakwaan tidak benar, terus lepas tangan," tegasnya.
KKM beri jaminan hadapi gelombang Omicron
Beliau juga menambah, peningkatan sehingga 160 peratus kes dalam kalangan kanak-kanak perlu diambil serius oleh ibu bapa.
"Kanak-kanak berada dalam golongan yang perlu bersosial, mereka kena pergi ke sekolah. Jadi, sebagai ibu bapa, tanggungjawab kita untuk beri mereka pertahanan yang terbaik. Kita sudah terima pertahanan, sekarang kena beri pada anak-anak pula.
"Ini waktu yang sesuai kerana PICKids (Pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak) sedang berlangsung. Kita sudah beri vaksin untuk pertahanan penyakit lain, kenapa tidak bagi vaksin pertahanan untuk COVID-19 pula?" soalnya.
#COVID-19 #vaksin #Kementerian Kesihatan #ICU #Khairy Jamaluddin #jangkitan #Omicron
;