Jangan lampaui Perlembagaan dalam urusan pengambilan tanah

Bernama
Julai 26, 2022 18:11 MYT
Kaedah pengambilan tanah bukan digunakan sewenang-wenangnya, bahkan dilakukan demi kepentingan awam contohnya Projek Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). - Gambar fail
BANGI: Urusan pengambilan tanah bagi pembangunan ekonomi perlu dilakukan secara waspada supaya setiap tindakan yang diambil tidak melampaui Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak terhadap harta iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan mencukupi.
"Urusan pengambilan tanah bagi pembangunan ekonomi perlu dilakukan secara berhati-hati kerana berkemungkinan akan dicabar kesahihannya di mahkamah sekiranya disalah urus," katanya pada majlis penutup Seminar Pengambilan Tanah 2022 di sini hari ini.
Takiyuddin dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa berkata, proses pengambilan tanah pada peringkat awal merangkumi aspek keluasan tanah dan jumlah pampasan yang perlu diberikan, seterusnya melibatkan pindaan cukai, pengeluaran hak milik sambungan serta pemilikan secara rasmi.
Menurutnya, kaedah pengambilan tanah dilaksanakan menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memperoleh tanah bagi pelaksanaan projek demi kemaslahatan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.
"Kaedah pengambilan tanah bukan digunakan sewenang-wenangnya, bahkan dilakukan demi kepentingan awam contohnya Projek Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)," katanya.
Beliau berkata pengambilan tanah juga bertujuan meningkatkan penggunaan tanah pada kadar optimum suapnya aktiviti ekonomi menjadi lebih produktif, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat. - BERNAMA
#pengambilan tanah #Perlembagaan Persekutuan #Akta Pengambilan Tanah #Takiyuddin Hassan
;