Jangan lakukan pembakaran terbuka semasa musim panas sekarang - Bomba

Bernama
Julai 27, 2024 04:40 MYT
Pada masa ini Sarawak mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan suhu persekitaran tinggi. - Gambar hiasan/BERNAMA
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu mengingatkan orang awam agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering yang melanda Sarawak sekarang bagi mengelakkan berlakunya kebakaran sukar dikawal.
Ketua Bomba Zon Sibu Andy Alie berkata terdapat lebih 50 lokasi titik panas dikesan di kawasan bawah jagaan 10 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) zon itu yang terdiri daripada BBP Sungai Merah, Sibu Sentral, Sibu Jaya, Kanowit, Selangau, Mukah, Sarikei, Bintangor, Song dan Tanjung Manis.
"Pada masa ini Sarawak mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan suhu persekitaran tinggi.
"Orang ramai diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tanah gambut, tapak pelupusan sampah serta kawasan kebun dan ladang," katanya kepada Bernama.
Andy berkata untuk tempoh di antara 1 Jan hingga semalam, terdapat 84 kes kebakaran kebun/ladang; hutan; belukar/lalang dan sampah direkodkan di Zon Sibu dengan sebahagian besar melibatkan kebakaran belukar/lalang (42 kes) dan sampah (37 kes).
Orang ramai boleh mengikut panduan keselamatan kebakaran pada musim panas serta kering sekarang iaitu mengelakkan pembakaran terbuka, lapor kepada pihak berkuasa sekiranya menemui perbuatan itu serta memaklumkan BBP dengan segera melalui talian 999 atau hubungi balai bomba terdekat, tambah beliau.
Beliau berkata panduan lain yang boleh diikuti ialah sentiasa peka dengan keadaan semasa melalui media massa dan media sosial serta segera keluar dari kawasan berisiko kebakaran sekiranya diminta pihak bomba.
-- BERNAMA
#cuaca panas #pembakaran terbuka #JBPM #titik panas