Jangan lakukan pembakaran terbuka - NREB Sarawak
Bernama
Ogos 5, 2021 04:44 MYT
Ogos 5, 2021 04:44 MYT
KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengingatkan penduduk tempatan dan semua industri yang beroperasi di Sarawak agar tidak melakukan pembakaran terbuka berikutan cuaca panas yang berterusan ketika ini.
NREB dalam satu kenyataan memaklumkan pembakaran terbuka merupakan penyumbang utama terhadap kemerosotan kualiti udara yang boleh memudaratkan kesihatan awam dan menjejaskan ekonomi.
"Cuaca panas dan kering ketika ini menyebabkan risiko berlakunya kebakaran yang sangat tinggi di kawasan-kawasan yang mudah terbakar seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah," katanya.
Berdasarkan rekod pemantauan NREB, sebanyak 252 titik panas dikesan dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding 201 titik panas pada 2020 dan 280 pada 2019 bagi tempoh yang sama.
"Bilangan ini dijangka akan terus meningkat jika keadaan cuaca panas dan kering berterusan hingga pertengahan September nanti," menurut NREB.
Menurut NREB, lazimnya peningkatan kes pembakaran terbuka disebabkan oleh aktiviti-aktiviti pertanian, pembukaan tanah untuk pertanian komersial serta kebakaran hutan dan belukar.
"Penduduk tempatan dan pihak industri terutamanya sektor pertanian disarankan agar mengamalkan operasi sifar pembakaran terbuka serta menggunakan kaedah-kaedah lebih mesra alam seperti pengomposan, sungkupan dan lain-lain bagi tujuan pelupusan sisa biojisim tumbuhan dan pembukaan tanah," kata NREB.
NREB berkata mereka yang menyebabkan atau melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 30(1)(a) dan 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar 2019 yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali dengan kompaun RM1,000 bagi setiap hari berlakunya pembakaran terbuka.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kejadian pembakaran terbuka diminta melaporkannya ke pejabat NREB terdekat atau menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 013-7595866.
-- BERNAMA
#pembakaran
#kebakaran hutan
#tanah gambut
#cuaca panas
#kualiti udara
#NREB
#Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar