Jangan lakukan pembakaran terbuka - Jabatan Perhutanan Sabah

Bernama
Mac 20, 2024 06:00 MYT
JPS memohon kerjasama masyarakat Sabah khususnya yang tinggal berhampiran kawasan hutan simpan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak berlaku bencana alam yang lebih buruk. - Foto fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) memohon kerjasama masyarakat Sabah khususnya yang tinggal berhampiran kawasan hutan simpan agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelak berlaku bencana alam yang lebih buruk.
Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan berkata pada ketika ini anggota Initial Attack Crew (IAC) di bawah jabatan itu berada dalam keadaan siap siaga untuk bertindak mengawal kebakaran agar tidak merebak ke hutan simpan.
"Kerjasama dan perkongsian maklumat dari Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa dipertingkatkan untuk pengurusan kebakaran hutan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata kemarau di Sabah yang telah berlarutan sejak awal Februari lalu terutamanya di daerah Sipitang, Papar, Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud menyebabkan keadaan cuaca panas yang mencecah suhu melebihi 35 darjah Celcius.
"Keadaan ini menyebabkan kawasan hutan, belukar dan rumput lalang mudah terbakar serta kadar kemerebakan api yang sangat cepat.
"Terdapat banyak kawasan belukar di sekitar daerah Papar dan Kota Kinabalu kini masih terbakar dan menyebabkan keadaan yang berjerebu," katanya.
Frederick berkata terdapat banyak sumber kawasan sumber air kekal dan anak-anak sungai menjadi kering dan menjejaskan keupayaan pasukan dari pelbagai agensi mengawal dan memadam kebakaran hutan.
Beliau berkata beberapa kes kebakaran hutan telah berlaku sepanjang Februari lalu terutama di kawasan Hutan Paya Gambut di Binsulok, Beaufort seluas kira-kira 357 hektar dan di hutan simpan Sulaman Lake, Kota Kinabalu.
"Kerjasama dari seluruh lapisan masyarakat khususnya pada musim kemarau yang sedang kita alami adalah penting untuk mengelakkan sebarang insiden kebakaran Hutan Simpan," katanya.
JPS juga memberi amaran sesiapa sahaja yang tidak mempedulikan nasihat Jabatan Perhutanan, Jabatan Bomba dan jawatankuasa bencana alam daerah dan didapati menjadi punca berlakunya kebakaran hutan simpan boleh diambil tindakan.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 19, Enakmen Hutan 1968 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#pembakaran terbuka #Jabatan Perhutanan Sabah #hutan #Frederick Kugan
;