Jangan lakukan aktiviti berkempen berdekatan pepasangan elektrik - Suruhanjaya Tenaga

Bernama
September 24, 2020 04:00 MYT
Suruhanjaya Tenaga memberikan ingatan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta mencegah risiko kemalangan elektrik seperti renjatan elektrik atau percikan arka. - Gambar fail
Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihatkan pihak yang menjalankan aktiviti berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berdekatan dengan pepasangan elektrik agar menghentikan perbuatan berkenaan kerana berbahaya.
ST memberikan ingatan itu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta mencegah risiko kemalangan elektrik seperti renjatan elektrik atau percikan arka.
"Elak daripada melakukan aktiviti berbahaya semasa kempen pilihan raya seperti tidak menggantung bahan kempen di tiang-tiang elektrik, tidak menampal poster pada pencawang elektrik, peti membekal, tiang elektrik serta tidak mendirikan tiang atau objek tinggi berdekatan atau di bawah talian elektrik," maklumnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, suruhanjaya itu yang memberi contoh insiden pada 2018 apabila empat orang tercedera akibat renjatan elektrik ketika memasang bendera parti politik di Johor, turut menasihatkan orang ramai agar tidak memanjat menara atau tiang elektrik.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak membawa objek tinggi seperti galah atau kayu panjang berhampiran atau melintasi talian elektrik, tidak memasang bendera atau sepanduk besar atau panjang berhampiran talian elektrik.
Menurut ST, orang awam juga tidak dibenarkan menggunakan kren dan skylift berhampiran pepasangan elektrik, tidak memasang khemah atau membuka pusat gerakan di bawah talian elektrik dan tidak menceroboh dan memasuki kawasan pencawang elektrik.
Sesiapa yang mengusahakan apa-apa kerja atau melibatkan diri dalam aktiviti berhampiran pepasangan elektrik, tanpa kebenaran sah daripada pihak berkuasa bekalan atau pemegang lesen, adalah menyalahi peruntukan Seksyen 37(12), Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447], katanya.
-- BERNAMA
#GERAKAN #kemalangan #pilihan raya #politik #PRN Sabah #Sabah Memilih #Suruhanjaya Tenaga
;