Anggota Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diseru supaya sentiasa berintegriti dan amanah dalam menjalankan tugas.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, ia penting bagi memastikan imej pasukan penguatkuasa itu disegani dan dipercayai warga kota.

“Pihak penguatkuasaan diamanahkan untuk melaksanakan undang-undang. Ini hanya akan dihormati warga Kuala Lumpur sekiranya penguatkuasa mengikut undang-undang dan mempertahankan integriti tugas mereka.

“Kita tidak mahu mendengar daripada warga kota mengenai rungutan bahawa anggota penguatkuasa terbabit dengan rasuah,” katanya.


Astro AWANI

Khalid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Khalid diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan melakukan pemeriksaan barisan.

Astro AWANI

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa penguatkuasa DBKL berdepan tugas yang mencabar dan berisiko.

“Kita sering mendengar cemuhan orang ramai terhadap tugas ini (DBKL).

“Namun, ingin saya nyatakan sekali lagi, lakukan tugas ini sejujurnya. InsyaAlah, khidmat bakti ini akan dikenang olehNya kelak,” tambahnya.

Astro AWANI

Untuk rekod, Jabatan Penguatkuasaan DBKL mula ditubuhkan pada 15 September 1969 apabila Pesuruhjaya Ibukota menubuhkan satu pasukan khas dikenali sebagai Skuad Pemusnah.

Pada 1 Okt 1969, atas nasihat Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), 48 Penguatkuasa Ibukota yang terdiri daripada bekas polis dan tentera dilantik oleh Suruhanjaya Ibukota.