Jangan kerana seronok Hari Raya Korban, sama-sama 'terkorban' akibat COVID-19 - Dr Noor Hisham

Ridauddin Daud
Julai 17, 2021 20:13 MYT
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua orang harus mengambil iktibar dengan insiden sebelum ini yang menyebabkan penularan kes dan kluster dalam komuniti. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak merentas daerah dan negeri semasa sambutan Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua orang harus mengambil iktibar dengan insiden sebelum ini yang menyebabkan penularan kes dan kluster dalam komuniti.
Menurutnya, bermula 1 Jun 2021 iaitu sejak permulaan pelaksanaan 'total lockdown' sehingga data terkini 16 Julai 2021, sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah 17,106 kes positif COVID-19 telah dilaporkan.
“Daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.
“Beberapa kluster komuniti ini turut melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, KKM khuatir dengan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri.
“Dalam tempoh 1 Jun 2021 sehingga 16 Julai 2021 sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring (kadar positiviti 17.8 peratus).
“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja,” ujarnya.
Tegasnya, negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).
BACA: COVID-19: 12,528 kes baharu, jumlah kematian harian tertinggi dicatatkan
BACA: "Tolonglah, jangan rentas daerah dan negeri ketika Aidiladha" - TPM
Tambanya lagi, larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan juga masih lagi berkuat kuasa dan rakyat harus mematuhinya.
“Justeru, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai 2021.
“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.
“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana COVID-19,” katanya lagi.
#rentas negeri #Aidiladha #Dr Noor Hisham Abdullah #ICU #Aidilfitri #COVID-19 #kes positif #rentas daerah #total lockdown #hari raya #Perak #Kelantan #terengganu #KKM #Hari Raya Aidilfitri #hari raya aidiladha
;