"Jangan keluar rumah, batal hasrat balik kampung" - Titah Agong
Nursyazwani Saiful Sham
Mac 20, 2020 20:08 MYT
Mac 20, 2020 20:08 MYT
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua rakyat Malaysia untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ia termasuk tidak keluar rumah jika tiada keperluan penting.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar membatalkan hasrat untuk balik kampung.
"Jangan berkumpul atau menghadiri sebarang aktiviti sosial di luar rumah.
"Kepada ibu bapa pengantin, saya nasihatkan tangguhkan dulu majlis kenduri sehingga keadaan beransur pulih.
"Saya nasihatkan juga agar rakyat jangan panik, kerana bekalan barang keperluan dijamin cukup oleh kerajaan," titah baginda pada Jumaat.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah juga menyeru agar rakyat jangan menyebar berita palsu.
Yang di-Pertuan Agong turut menasihatkan agar rakyat menjaga kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan, menggunakan pembasmi kuman dan memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakan sosial.
"Marilah kita bersama memainkan peranan membantu membendung wabak ini," titahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.
Setakat Jumaat, sebanyak 130 kes baharu COVID-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan jumlah kumulatif adalah 1,030 kes di Malaysia.
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#tidak keluar rumah
#Yang di-Pertuan Agong