Jangan ke pawagam pandu masuk jika penat, tidak selesa

Astro Awani
Julai 19, 2020 22:42 MYT
Pawagam yang dikenali sebagai Casuarina Sini-Drive terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh dan mampu memuatkan sehingga 70 buah kenderaan pada satu-satu masa. - Foto BERNAMA
Orang ramai dinasihatkan supaya jangan menonton di pawagam pandu masuk sekiranya mereka berasa penat atau tidak selesa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, adalah lebih selamat jika mereka hanya menonton televisyen di rumah.
“Yang penting kita jaga kita sebab walaupun kita boleh melihat pawagam di mana-mana, di dalam kereta, di rumah dan sebagainya tetapi pastikan diri kita tu menjaga kita.
“Oleh sebab itu, fikir yang terbaik untuk kita.
“Bukan kita hendak menghalang, tetapi maknanya fikir yang terbaik, janganlah kerana benda yang kecil itu menyebabkan kita menghadapi bencana yang lebih besar,” katanya.
BACA: Perak negeri pertama perkenal pawagam pandu masuk
BACA: Bahaya tertidur dalam kereta semasa menonton di pawagam pandu lalu
Beliau ditemui sempena lawatan kerja ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak di Ipoh pada Ahad.
Pada Ahad, Public Health Malaysia menasihatkan orang ramai supaya tidak tertidur di dalam kenderaan dengan enjin terbuka apabila menonton di pawagam pandu masuk kerana gas karbon monoksida yang bocor dari ekzos boleh disedut masuk ke dalam kenderaan dan menyebabkan keracunan.
Perak menjadi negeri pertama yang memperkenalkan panggung wayang pandu masuk atau drive-in cinema yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Jumaat.
Pawagam yang dikenali sebagai Casuarina Sini-Drive terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh dan mampu memuatkan sehingga 70 buah kenderaan pada satu-satu masa.
#Bandar Meru Raya #Casuarina Sini-Drive #Dr Ismail Abdul Muttalib #Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak #pawagam pandu masuk #Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
;