"Jangan jual tanah, kalau boleh usahakan untuk dapat hasil" - Nasihat Tun M kepada penduduk Langkawi

Abd Hadi Che Awang
Mac 30, 2022 18:23 MYT
Dr Mahathir Mohamad (tengah) menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Masjid Al-Naim, Makam Mahsuri, Langkawi, pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
LANGKAWI: Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati penduduk di Pulau Langkawi agar tidak menjual tanah masing-masing meskipun ditawarkan dengan harga yang agak tinggi.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, tanah yang dimiliki itu boleh dijadikan kawasan untuk memulakan sebarang projek seperti mengusahakan tanaman, projek penternakan, projek padi pulut selain kawasan untuk membuat kolam ikan.
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Langkawi, sekiranya aktiviti menjual tanah milik orang Langkawi menjadi 'trend' untuk mendapat untung segera, tindakan itu akan memberi kesan buruk pada masa akan datang dan orang Langkawi akan 'merempat' di tanah sendiri.
Tambah Dr Mahathir, hasil yang lebih banyak akan diperoleh sekiranya penduduk di pulau peranginan popular itu sanggup mengusahakan tanah masing-masing untuk dimajukan pada masa akan datang tanpa menjualnya kepada orang lain.
"Orang Langkawi kalau jual tanah, habis jual tanah, dia nak duduk di mana? (Adakah dia akan) duduk didalam laut, (atau) duduk dalam hutan?
"Nanti (lama kelamaan semua orang termasuk) 'tok imam' kena duduk dalam hutan, hendak azan dan sembahyang pun tidak boleh.
"Tetapi kalau kita jaga tanah kita, kita bukan sahaja (ibarat) menunggu orang bagi hadiah (kepada) tetapi kita ada (hadiah) kepada orang, (khususnya apabila) kita keluarkan zakat (selepas) kita keluarkan duit (hasil yang diperolehi),” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan bakul Ramadan di Masjid Al-Naim, Makam Mahsuri di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir turut mencadangkan penubuhan koperasi untuk meningkatkan hasil daripada tanah-tanah penduduk Langkawi yang diusahakan.
Bagaimanapun, tegasnya, penubuhan koperasi itu perlu bebas daripada sikap menipu, tidak amanah serta mengambil kesempatan daripada orang lain.
"Kita boleh buat (usahakan) tanah yang (lebih) besar, kalau kita ada tanah kecil (boleh) jadi besar sampai 1,000 ekar, tetapi kalau kita nak cantum (sebegitu, perlu atau) kena tubuhkan koperasi,
"(Tetapi lebih penting) selepas buat koperasi jangan (sesekali) menipu, duit koperasi perlu (dijaga dan) dibelanja (dengan baik) dan (jangan ada sikap) tidak baik, kita kena jaga dengan baik baru orang percaya dengan koperasi (yang ditubuhkan)," kata beliau.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir memaklumkan, harga tanah di Langkawi meningkat dengan mendadak ketika ini jika dibandingkan dengan awal kejadirannya di pulau legenda itu sekitar tahun 1950-an.
Menurutnya, harga sekaki tanah di Langkawi ketika ini dianggarkan sebanyak RM5 jika dibandingkan dengan 60 tahun lalu iaitu sekitar RM200 bagi serelung tanah disebabkan pertukaran status pulau itu sebagai pulau bebas cukai.
#Langkawi #jangan jual tanah #Mahathir Mohamad #pulau langkawi
;