Jangan jual rumah YASA, biar berkekalan turun-temurun - YDP Agong

Azee Shafy
Mei 13, 2022 14:45 MYT
Seri Paduka memberi komitmen projek rumah YASA akan terus dibina dari semasa ke semasa supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah terutama mangsa banjir.- Foto Astro AWANI
RAUB: Penerima rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) diingatkan tidak menjual rumah mereka kepada orang lain, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah agar rumah tersebut dijaga supaya kekal menjadi hak milik keluarga turun-temurun, dan sekiranya pemilik masih berhasrat menjual rumah itu, mereka harus mematuhi prasyarat dengan mendapat kebenaran pegawai daerah terlebih dahulu.
"Saya tidak mahu ada yang jual rumah ini. Sedihlah saya kalau berlaku. Duduklah di rumah ini baik-baik, jaga anak, jaga mak.
"Kalau nak jual, kena ikut prasyarat. Mesti dapatkan kebenaran pegawai daerah. Kaedah ini bukan nak menyusahkan tapi untuk menjaga kepentingan tuan rumah.
"Kalau ikutkan, hutang memang tiada. Semuanya dibiayai, cuma tinggal di sini duduk baik-baik," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) kepada penerima di Kampung Tanjung Putus, serta mencemar duli menyerahkan kunci rumah kepada penerima di Kampung Temau, Kampung Ulu Sungai dan Kampung Sia.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Kiram, ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Mohammad Shahid Ismail.
Rumah kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah bernilai RM100,000 lengkap mempunyai tiga bilik dan tiga bilik air dilengkapi perabot.
Pada masa yang sama, Baginda turut mengingatkan para pemaju tidak memikirkan keuntungan yang besar dan menganggap projek ini sebagai khidmat kepada mereka yang memerlukan.
"Buatlah sebaik mungkin. Jangan bagi persiapan rumah ini yang kurang baik kerana ini akan menyusahkan tuan rumah.
"Saya tidak mahu tuan rumah terpaksa pula mengeluarkan peruntukan lain untuk membaiki kerosakan rumah kurniaan," titah Baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu yang rumah mereka sebelum ini mengalami kerosakan teruk ketika banjir buruk melanda Pahang awal tahun ini.
Di samping itu, Baginda berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi milik Shaharim Ahamad Amiruddin, 41.
Seri Paduka memberi komitmen projek rumah YASA akan terus dibina dari semasa ke semasa supaya lebih ramai rakyat mendapat faedah terutama mangsa banjir.
#Yayasan Al-Sultan Abdullah #YASA #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #mangsa banjir #Pahang
;