"Jangan jual peranti siswa, itu hasrat kerajaan bantu pelajar B40" - PM

Afiezy Azaman
Oktober 26, 2022 16:07 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu kepada pelajar yang mendapat bantuan peranti siswa di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia untuk tidak menjual peralatan eletronik tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu kepada pelajar yang mendapat bantuan peranti siswa di bawah Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia untuk tidak menjual peralatan eletronik tersebut.
Perdana Menteri dalam masa sama menyeru pelajar-pelajar yang menerimanya tidak mencari keuntungan jangka pendek sehingga mengakibatkan hasrat kerajaan untuk membantu pelajar kategori B40 tidak kesampaian.
"Inilah kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (Tan Sri Annuar Musa), malah pelan awal dahulu adalah kita memberi pinjam dan selepas tamat belajar pulangkan balik maka selamatlah (tidak dijual) peranti itu.
"Tujuan kerajaan baik supaya tidak mahu lagi menyusahkan pelajar dan itu hak mereka, maka perlulah jaga dengan betul agar memudahkan pembelajaran mereka, jadi saya merayu kepada pelajar yang mendapat peranti itu untuk tidak menjualnya.
"Peranti itu diberikan kerajaan untuk memudahkan mereka dan meningkatkan mutu pelajaran demi masa depan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri, di sini, pada Rabu.
Pada Selasa, Annuar mengesahkan berlakunya kes penjualan semula peranti siswa dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.
Setakat ini, katanya, terdapat 14 kes penjualan semula peranti siswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang berada dalam kelompok B40.
Semalam, tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual peranti siswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori yang diperoleh dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.
#peranti siswa #jangan jual peranti #Peranti Siswa Keluarga Malaysia #ismail sabri yaakob
;