Jangan jejaskan usaha tangani isu perubahan iklim dengan sentimen politik - Ahli Parlimen

Astro Awani
Ogos 19, 2023 16:54 MYT
Jika isu perubahan cuaca tidak ditangani dengan kematangan dan keinginan politik, sudah pasti ia akan memberi impak yang sangat besar kepada masa depan negara, khususnya berkaitan aspek kehidupan dan keterjaminan makanan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu perubahan cuaca bukan sesuatu yang hanya perlu diperjuangkan oleh satu pihak parti sahaja, dan akan mendapat bantahan dari pihak lawan, kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, mana-mana pihak yang menjadi kerajaan, perlu mempunyai keyakinan penuh terhadap pelan perancangan strategik untuk menangani isu berkenaan, termasuk meletakkan kepercayaan kepada penjawat awam sebagai pelaksana.
Tegasnya lagi, jika isu perubahan cuaca tidak ditangani dengan kematangan dan keinginan politik, sudah pasti ia akan memberi impak yang sangat besar kepada masa depan negara, khususnya berkaitan aspek kehidupan dan keterjaminan makanan.
“Sebab ini saya kata kita perlu kematangan tertentu untuk memastikan apa jua yang projek yang telah dirancang dan dilaksana oleh kerajaan terdahulu, baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri, mesti diteruskan oleh pihak mana jua yang menang pilihan raya.
“Jadi saya mengharapkan agar ahli-ahli politik dan pembuat dasar mempunyai disiplin dalam hal ini, supaya sebarang perancangan jitu untuk menjamin sumber makanan kita tidak akan dijejaskan oleh sentimen politik,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, serta Timbalan Menteri Perpaduan.
Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian sewaktu menjadi panelis BFM Grilled Special - Young Policymakers and Food Security – bersempena Youth Sustainability Forum 2023 di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee berpandangan, isu perubahan iklim dan keterjaminan makanan tidak seharusnya diperjuangkan oleh pakar semata-mata, tetapi ia memerlukan keterlibatan semua pihak, termasuk golongan muda.
“Saya rasa isu ini, yang sebenarnya sedang dihadapi oleh manusia ketika ini, boleh difikirkan dari sudut turun-temurun. Maksud saya, apakah pandangan mengenai perkara ini dari sudut agama sebagai contoh.
“Isu ini jarang sekali dibincangkan oleh agamawan-agamawan, yang mungkin mempunyai pengaruh yang tinggi di platform Tiktok. Ya mereka mungkin mempunyai pengaruh di bahagian pedalaman, tetapi jika anda ingin meningkatkan pengetahuan masyarakat di kawasan pedalaman, maka saya yakin agamawan ini mempunyai pengaruh melebihi ahli politik,” katanya lagi.
#Howard Lee #Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Youth Sustainability Forum 2023 #climate change
;