Jangan jadikan perbezaan politik senjata permusuhan - PM Anwar

Bernama
Jun 24, 2023 14:50 MYT
Anwar (tiga, kiri) menyampaikan replika cek Bantuan Program Pembangunan Risda Negeri Sembilan kepada penerima Azman Salam (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai, hari ini. -Bernama
NILAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai senjata permusuhan, sebaliknya sebagai cadangan untuk menjadi yang lebih baik.
Beliau berkata ia susulan banyak fakta yang tidak tepat dan fitnah dilemparkan, terutama di media sosial, oleh segelintir pihak mengenai usaha kerajaan untuk membantu rakyat.
Beliau berkata baru-baru ini dibangkitkan isu perjanjian persempadanan dimeterai antara beliau dengan Presiden Indonesia Jokiwi (Joko Widodo), dan perkara itu menurutnya telahpun dijawabnya di Parlimen, namun ia masih terus dimainkan, dengan pelbagai tuduhan kononnya ia bagaikan menjual maruah negara, tidak bertanggungjawab dan khianat kepada negara.
"Perkara ini hangat dikeluarkan di media sosial dengan penuh penipuan dan fitnah...ini masalah kita, tidak bolehkah perbezaan politik ini jangan kita jadikan senjata permusuhan, senjata fitnah.. tetapi jadikan perbezaan ini untuk bagi cadangan yang lebih baik, saya belum dengar lagi apa cadangan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa di sini, dan antara yang turut hadir di majlis pagi ini ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Justeru Anwar berkata kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadi jentera bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang benar dan menangkis perkara yang palsu kepada masyarakat.
Sementara itu Perdana Menteri sekali lagi menjelaskan bahawa kenaikan purata tarif eletrik hanya melibatkan mereka dengan penggunaan melebihi 1,500 kilowatt (kwj), sekali gus tidak membebankan golongan kurang berkemampuan.
"Tentang pengurangan subsidi elektrik, dia (pembangkang) kata kita bebankan rakyat, pengurangan ini dikurangkan kepada pengguna 1,500 kWj... tetapi kempen (pembangkang) kata ia beban kepada rakyat...siapa yang buat keputusan nak naikkan dulu? Kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional) buat keputusan itu, ada hitam putih.
"Orang biasa, penjawat awam, tidak termasuk dalam kategori kena bayar kadar elektrik yang lebih tinggi. Kita ambil langkah ini supaya wang itu kembali kepada rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan eBelia Rahmah pada 26 Jun ini," katanya.
Selain itu, Anwar berkata Jemaah Menteri telah memutuskan tidak akan menambah hutang kerajaan lagi kerana memahami impak yang akan ditanggung pada masa akan datang.
"Hutang lebih RM1 trilion untuk diselesaikan dalam setahun atau dua tahun, ia tidak mudah, tetapi kita akan cuba, kerajaan tanggung defisit 5.6 peratus...dalam jemaah menteri, kita putuskan jangan hutang lagi," katanya.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #perbezaan politik #senjata permusuhan #isu perjanjian persempadanan
;