Jangan jadikan khat subjek wajib - Rafidah Aziz

Bernama
Ogos 7, 2019 17:09 MYT
Menurut Rafidah, khat bukan Jawi, bahasa atau subjek tetapi sebaliknya khat adalah kaligrafi seperti kaligrafi Cina. - Gambar fail BERNAMA
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz tidak bersetuju khat dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah, tetapi menjadi subjek elektif bagi pelajar yang berminat dalam seni halus.
"Persoalannya adalah anda mahu menjadikannya (khat) subjek atau elektif. Jika elektif itu adalah baik, kerana ada orang yang terlibat dalam seni halus ini. Jangan jadikannya elektif sehingga membebankan pelajar.
"Jangan jadikan seolah-olah kita membuat anda belajar khat, ini satu tindakan tidak bijak. Ada perkara lain yang perlu dipelajari. Ini tidak perlu dipelajari, ia harus menjadi elektif," kata bekas menteri itu lagi.
Beliau bercakap kepada wartawan selepas menyampaikan ucaptama utama di Seri Wacana Perdana 21 bertajuk "Faktor-faktor yang Menimbulkan Kemajuan Ekonomi Malaysia dan Bagaimana Mengatasi Mereka, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Rafidah menegaskan, khat bukan Jawi, bahasa atau subjek tetapi sebaliknya khat adalah kaligrafi seperti kaligrafi Cina.
Tambahnya, Kementerian Pelajaran tidak seharusnya menjadikan pembelajaran khat sebagai wajib, tetapi sebagai subjek elektif untuk meningkatkan pengetahuan dan mempromosikannya sebagai sebahagian daripada kreativiti.
Terdahulu, dalam ucapannya, Rafidah berkata beliau telah menghantar mesej kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyuarakan bantahannya mengenai isu khat berikutan pengumuman kementerian baru-baru ini yang akan memasukkan khat dalam sukatan pelajaran Tahun 4 untuk kanak-kanak berusia 10 tahun tahun depan. - BERNAMA
#Jangan jadikan khat subjek wajib #JAWI #kaligrafi #khat #Maszlee Malik #Rafidah Aziz
;