Jangan jadikan kes William bahan gurauan

Bernama
Januari 21, 2013 16:05 MYT
Polis meminta orang ramai agar tidak menjadikan kes William Yau Zhen Zhong, kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini Rabu lepas, sebagai bahan gurauan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Rosli Mohd Isa berkata ini berikutan terdapat pelbagai panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima ibu bapa kanak-kanak terbabit daripada beberapa pihak tidak bertanggungjawab.
"Baru-baru ini ada pihak yang membuat panggilan (telefon) dan meminta wang tebusan daripada ibu bapa kanak-kanak ini. Apabila ditanya berhubung kanak-kanak itu, panggilan dimatikan dan disusuli pula SMS yang mengatakan mereka berbuat demikian hanya sekadar main-main.
"Ini kes budak hilang, kenapa perlu dibuat bahan mainan, tolong jangan menghubungi ibu bapa kanak-kanak ini jika tiada keperluan. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan perkara seperti ini," katanya kepada pemberita hari ini.
Rabu lepas, anak kedua daripada tiga beradik itu dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights dekat sini apabila gagal ditemui selepas dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
#ACP Rosli Mohd Isa #hilang #Putra Heights #William Yau Zhen Zhong
;