Jangan jadikan banjir sebagai pesta air - Bomba

Bernama
Januari 4, 2022 05:14 MYT
Kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka sekali gus membahayakan nyawa. - Foto fail/BERNAMA
SEGAMAT: Orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan situasi banjir sebagai pesta air dengan mengabaikan aspek keselamatan kerana dikhuatiri mengancam nyawa mereka.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Penguasa Bomba Rasidi Md Yunos berkata ini kerana paras air di kawasan dinaiki air sangat deras dan meningkat dengan cepat terutama berhampiran sungai, pantai, lombong dan tasik.
"Ada yang (individu) menjadikan banjir satu pesta dengan rasa tidak bersalah buat video TikTok, sebarkan menerusi media sosial, aktiviti ini sangat berisiko kerana aspek keselamatan diabaikan dan sanggup mengharung banjir.
"Ini termasuk tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan jaket keselamatan selain ada juga membiarkan anak-anak kecil mereka bermain air, seharusnya perkara seumpama ini tidak berlaku," katanya yang ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Segamat di sini pada Selasa.
Beliau turut menasihatkan penduduk di daerah ini dan kawasan terjejas banjir supaya tidak mengambil risiko meredah arus banjir kerana kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka sekali gus membahayakan nyawa.
"Nasihat saya kepada masyarakat ialah berikan kerjasama dan patuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya dan menambah walaupun penduduk kawasan yang terjejas sudah biasa dengan situasi banjir namun mereka tetap perlu berwaspada.
Setakat ini, 101 kampung dan taman perumahan di Johor terjejas banjir dengan 79 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 5,598 mangsa.
Sebanyak lima sungai di negeri ini melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat mencatat paras 21.58 meter diikuti Sungai Muar di Buloh Kasap (11.13m), Sungai Segamat di Bandar Segamat (9.91m), Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (6.69m) dan Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor, Tangkak (4.26m).
-- BERNAMA
#Balai Bomba dan Penyelamat #banjir #pesta air #keselamatan
;