Jangan jadikan anak murid sebagai bahan uji kaji, rombak semula peperiksaan - Zahid
Umavathi Ramayah
September 15, 2024 21:27 MYT
September 15, 2024 21:27 MYT
SHAH ALAM: Dasar pendidikan yang memansuhkan peperiksaan di tahun enam dan tingkatan tiga perlu dirombak dan disemak semula.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pangajian Tinggi mendapati keciciran 10,177 calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) 2023 adalah disebabkan gagal menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
"Saya mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Kementerian Pendidikan (bagi mengenal pasti punca) dan kebanyakannya tidak boleh membaca, menulis dan mengira.
"Wajib, dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Tahun 6 dan Tingkatan 3 mesti di-revamp (dirombak dan diperbaiki)," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-78, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berpendapat, dasar pendidikan wajar dikekalkan walaupun berlaku pertukaran kerajaan pada setiap kali pilihan raya umum (PRU).
"Jangan jadikan anak murid sebagai bahan uji kaji dan mereka jadi mangsa... biar kerajaan bertukar, tetapi dasar kerajaan mestilah dibuat supaya anak kita tidak menjadi mangsa," katanya.
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Terdahulu, Vigneswaran dalam ucapannya memohon kerajaan untuk mencari jalan bagi memulihkan semula imej sistem pendidikan negara, susulan ramai pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.
Beliau berkata isu keciciran pelajar yang tidak mendaftar dan menduduki SPM, turut mencetuskan kebimbangan, dalam usaha negara berinspirasi mencapai status negara maju.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bersetuju memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan RM200 juta bagi memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada dua Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan Kolej TAFE serta Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) berdasarkan keperluan.
"Saya akan gunakan sebahagian (peruntukan) yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun ini (untuk program TVET di dua IPT itu)," ujarnya.