Jangan jadikan Ahmad Zahid 'kambing hitam' - Nur Jazlan

Sinar Harian
Ogos 15, 2023 12:50 MYT
NUR JAZLAN: Kenapa tak petik sekali nama Pengerusi UMNO Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? - Foto fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Pemimpin dan juga ahli akar umbi UMNO dinasihatkan supaya tidak mudah menyalahkan seorang individu sahaja susulan prestasi buruk parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dengan hanya menjadikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'kambing hitam' untuk dipertanggungjawabkan atas kekalahan banyak kerusi yang ditandingi parti itu pada PRN tidak akan menyelesaikan masalah utama.
Jelasnya, semua pihak tak kira peringkat pucuk pimpinan tertinggi UMNO Pusat, pemimpin di Bahagian dan juga Cawangan UMNO perlu bersama memikul bebanan ini, kerana penolakan rakyat terhadap parti itu bukan kerana faktor seorang pemimpin sahaja tetapi atas jenama UMNO itu sendiri.
“Kenapa hanya namakan Ahmad Zahid seorang saja yang perlu letak jawatan? Kenapa tak petik sekali nama Pengerusi UMNO Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Sebab kalau nak diikutkan di lima negeri itu, prestasi UMNO buruk kecuali Negeri Sembilan.
“Kenapa puak pendesak dalam UMNO tak salahkan Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Pusat dan bahagian sekali dalam kekalahan ini? Sepatutnya semua pihak perlu ambil tanggungjawab sebagai sebuah kesatuan dalam UMNO.
"Sebabnya kalau Presiden UMNO gagal maknanya keseluruhan kepimpinan parti juga gagal,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelas Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, beliau bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang lebih rasional menilai kemerosotan prestasi UMNO pada PRN dan mahu semua pihak memikul amanah atas kekalahan itu.
Katanya, UMNO perlu membuat post mortem dan lakukan perubahan bangkit untuk mengembalikan sokongan rakyat terutamanya orang Melayu kepada parti itu.
“Saya bersetuju dengan pandangan Datuk Seri (Johari) sebab dia lebih rasional dan bijak dalam mengulas kekalahan calon UMNO pada PRN ini. Dia tak mahu orang UMNO hanya salahkan Presiden saja tapi sebaliknya semua pihak kena pikul tanggungjawab termasuk dirinya sendiri.
“Tak macam beberapa orang dalam kepimpinan UMNO pusat yang terus melatah dan kononnya terpaling bijak dalam menerajui parti. Bila prestasi buruk saja, terus bingkas keluarkan kenyataan kononnya UMNO perlu buat perubahan.
“Tapi hanya cakap suruh buat perubahan saja tapi apa idea-idea perubahan itu tak ada. Kerja sendiri pun banyak yang ke laut dan hanya tahu sembang saja tapi hasilnya tak ada,” katanya.
Jelas Nur Jazlan, semua keputusan berkaitan PRN lalu dibuat secara konsensus termasuk dalam mesyuarat MKT UMNO dan beberapa orang pemimpin yang tak berpuas hati itu juga turut bersama membuat keputusan.
Katanya, malahan presiden parti memberikan kebebasan kepada UMNO negeri dan Ketua Bahagian dalam pemilihan calon-calon yang difikirkan layak dan mampu menang untuk PRN di DUN masing-masing.
“Jadi tak boleh nak salahkan Presiden UMNO saja atas kekurangan prestasi parti sebaliknya setiap orang perlu sama-sama memikul tanggungjawab dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikan segala kemelut.
“Macam contoh pada PRN Melaka dan Johor sebelum ini, parti dipimpin oleh Presiden yang sama dan pemilihan calon-calon pun dibincangkan bersama.
"Hasilnya cemerlang pula, tak timbul pula isu Presiden UMNO yang jadi liabiliti kepada parti ketika itu. Padahal ketika itu pun Presiden sedang menjalani perbicaraan di mahkamah macam sekarang, tak pula jadi isu besar,” katanya. - Sinar Harian
#PRN #Nur Jazlan Mohamed #UMNO #Ahmad Zahid Hamidi
;