Jangan jadi 'promoter tidak berbayar' kongsi aktiviti perdagangan hidupan liar di media sosial

Hasimi Muhamad
Januari 31, 2021 20:25 MYT
Tenggiling, kura-kura kecil dan burung murai antara haiwan yang diiklan di media sosial untuk aktiviti perdagangan. - Gambar WWF-Malaysia.
KUALA LUMPUR: Orang awam dan warganet dinasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang menyokong aktiviti pemerdagangan hidupan liar tidak sah di platform media sosial.
Ketua Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata pihaknya mengesan transaksi tersebut dilakukan oleh pihak tertentu termasuk kedai haiwan, sama ada menerusi Facebook ataupun WhatsApp.
Sehubungan itu, beliau menambah pihaknya ketika ini sedang mempertimbangkan cadangan agar Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 digubal bagi memperincikan secara spesifik mengenai kesalahan mempromosikan haiwan yang dilindungi.
“Setakat ini Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 tidak secara spesifik menyatakan bahawa promosi haiwan dilindungi di media sosial sebagai satu kesalahan.
“Dengan adanya definisi tersebut, ia mungkin boleh menghindari orang berkenaan daripada membuat posting (hantaran tentang pemerdagangan haiwan dilindungi) secara dalam talian tanpa permit yang sah,” katanya ketika sesi Nature Talks yang disiarkan secara langsung di Facebook WWF-Malaysia pada Sabtu.
Sesi bertajuk Kebaikan, Keburukan dan Bahaya: Perdagangan Hidupan Liar Dalam Era Media Sosial itu turut disertai Pegawai Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar WWF-Malaysia, Dairysia Yukin dan Pengurus Perlindungan Hidupan Liar WWF-Malaysia, Sharon Koh Pei Hue.
Mengulas lanjut, Mohd Soffian menambah selain aktiviti pemerdagangan haiwan liar, aktiviti menjual daging haiwan hasil pemburuan juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Contohnya, penjual daging rusa. Dalam tempoh PKP, tiada lesen yang dikeluarkan oleh jabatan untuk para pemburu aktif.
“Maka, jika ada orang memuat naik (iklan menjual) daging rusa segar dari hutan yang baru diburu, ia jelas menunjukkan bahawa perkara itu adalah (aktiviti) haram,” jelas beliau.
Sementara itu, Dairysia berkata setakat ini sebanyak 208 spesies haiwan dikesan menjadi mangsa aktiviti perdagangan hidupan liar di Facebook, melibatkan 882 penjual atau pengiklan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 96 peratus melibatkan burung, di mana 76 peratus adalah spesies yang tersenarai dalam Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Jelas beliau, haiwan-haiwan yang dijual menerusi media sosial kebanyakan dihantar secara pos atau menerusi kaedah pembayaran tunai ketika serahan (COD).
Bahkan, ia didakwa turut melibatkan penjualan di luar negara termasuk Indonesia dan Brunei.
Katanya, kebanyakan aktviti perdagangan adalah bertujuan untuk peliharaan; peliharaan dan pertandingan; serta perubatan.
Bagaimanapun, Dairysia mengakui bahawa aktiviti perdagangan hidupan liar di media sosial menunjukkan penurunan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, pada Mac tahun lalu.
#PKP #Facebook #WhatsApp #Brunei #perdagangan hidupan liar #Perdagangan hidupan liar di media sosial #WWF-Malaysia
;