Jangan jadi 'macai' politik

Hafiz Marzukhi
Ogos 2, 2015 17:34 MYT
Secara keseluruhannya, kita cekap dalam menyelubungi kecaman disebalik kritikan tidak membina. - Gambar Fail
RAKYAT Malaysia gemar memberi pandangan terhadap banyak perkara.
Sama ada mengenai kontroversi berkaitan artis tempatan ataupun sindiran dari seorang bekas Perdana Menteri, ada sahaja pandangan yang ingin diutarakan.
Perkara ini menjadi lebih mudah terutamanya dengan kehadiran media social.
Ramai yang berkongsi pandangan (biasanya negatif) dalam bahagian komen dan kemudian menunggu untuk kekalutan berlaku apabila ramai yang lain hadir menambah kritikan.
Secara keseluruhannya, kita cekap dalam menyelubungi kecaman disebalik kritikan tidak membina.
Ini membuktikan rakyat Malaysia rata-ratanya terdiri daripada mereka yang pedulikan apa yang berlaku dalam negara.
Oleh itu, mereka ingin menyumbangkan sesuatu dalam proses memajukan negara.
Secara jujurnya, saya berbangga berada dalam kalangan masyarakat yang berpandangan ke hadapan.
Jadi, untuk maju ke depan, kita tidak boleh hanya memberi komen di laman sosial masing-masing.
Terdapat pelbagai sebab yang mungkin menyebabkan tindak-tanduk sebegini namun saya tidak ingin berpura-pura seperti seorang ahli antropologi dan bercakap mengenainya di sini.
Walau bagaimanapun, terdapat satu pemerhatian menarik yang ingin saya kongsikan dengan anda.
Jika dilihat secara teliti, pergaduhan antara 'keyboard warriors' di laman sosial berpunca dari pendirian mereka bahawa semua pandangan dibuat berdasarkan kepada parti politik yang disokong tanpa memberi ruang kepada mereka yang memberi buah fikiran secara neutral.
Hujah-hujah biasanya berakhir dengan sama ada seseorang itu macai bagi parti pemerintah atau pihak pembangkang.
Saya bersyukur kerana masih ada di antara kita yang memberi pandangan secara objektif dan saya ingin menjadi salah seorang daripada mereka yang berpendirian begini.
Saya percaya ianya salah untuk mengkategorikan mereka yang menentang penggantungan The Edge sebagai anti-kerajaan.
Sama seperti saya tidak bersetuju dengan mereka yang menganggap bahawa golongan yang menyokong perlaksanaan cukai barangan perkhidmatan (GST) sebagai pro-kerajaan.
Ingatlah, tiada pihak yang sentiasa betul.
#GST #macai #media sosial #politik
;