Jangan izinkan amalan budayakan jenaka perkauman - AMK

Faida Rahim
Februari 9, 2023 07:40 MYT
Nabil turut memuji tindakan pantas KBS menggantung penglibatan Hanis Nadiah Onn di mana-mana tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Cambodia 2023. -Facebook AMK Malaysia
KUALA LUMPUR: Jangan sesekali izinkan amalan membudayakan jenaka terutamanya melibatkan bangsa kerana jelas akan memberi impak negatif dan menjejaskan kerharmonian yang terbina lama.
Demikian kata Timbalan Ketua Penerangan AMK Malaysia, Nabil Halimi yang mengkritik tindakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Saari yang menuntut supaya Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menarik semula tempoh penggantungan setelah permohonan maaf dibuat.
“Malaysia sebuah negara berbilang kaum dan mengamalkan budaya saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Elakkan perkara-perkara dari mengaibkan dan menghina bangsa lain.
“Ia merupakan satu pengajaran dan perlu diambil iktibar oleh seluruh rakyat Malaysia terkait isu ini agar keharmonian masyarakat terus terjamin dan hubungan erat dalam kalangan masyarakat kekal kukuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Nabil menegaskan agar orang ramai tidak sepatutnya memandang enteng terhadap isu-isu berkaitan keharmonian kaum.
Sementara itu, Nabil turut memuji tindakan pantas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggantung penglibatan Hanis Nadiah Onn di mana-mana tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023.
Terdahulu, pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn menerima padah apabila digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.
Ini berikutan tindakannya memuat naik komen berbaur perkauman dituju ketika konsert penyanyi dan komposer dari India, AR Rahman yang dihadiri majoriti kaum India di ibu negara, bulan lepas.
#Kementerian Belia dan Sukan #Nabil Halimi #Hanis Nadiah Onn #amalan membudayakan jenaka
;