Jangan heret institusi diraja dalam perbincangan politik - PM Anwar
Ridauddin Daud
Julai 22, 2023 14:48 MYT
Julai 22, 2023 14:48 MYT
SUNGAI BESAR: Perdana Menteri mengingatkan semua agar tidak mengheret Raja dan Sultan dalam perbincangan politik kerana tarafnya berbeza.
Ini kerana, menurut Perdana Menteri, kedudukan dan martabat Raja-raja Melayu berbeza dengan rakyat dan seharusnya kedaulatan institusi beraja dijunjung semua pihak.
Tidak menyebut sebarang nama, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Sultan dan Raja perlu dihormati dan sekiranya ada perbezaan pendapat, Anwar berkata beliau akan memohon menghadap Sultan dan Raja, bukannya komen di luar.
“Hari-hari Perdana Menteri dicerca, dimaki, dihina. Ada saya ambil tindakan? Tiada tindakan. Ada saya suruh polis ambil tindakan? Tidak!
“Tapi kalau cerca dan hina Raja-Raja, nasib kamulah. Jadi, siapa yang buat laporan polis? Dewan Diraja Selangor buat laporan polis.
"Apa boleh ke buat laporan tanpa perkenan Sultan Selangor? Tidak. Dewan Diraja Selangor buat laporan polis.
"Kemudian Ketua Pas Selangor menghadap Tuanku, minta ampun. Apa jawab Tuanku? Tuanku titah 'belum selesai'.
“Maka, esoknya Ketua Polis Negara keluarkan arahan pergi dakwa. Apa salah Perdana Menteri pula ini? Tiada modal ke?
“Kamu pandai cakap, tanggunglah. Hebat sangat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurutnya, Baginda bertitah demikian ketika Al-Sultan Abdullah menitahkan pemimpin parti politik untuk menghadap selepas selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan.
Mengambil contoh konflik berlaku di Thailand yang masih tiada kerajaan sehingga kini, Perdana Menteri menegaskan perkenan Raja amat penting dalam pembentukan kerajaan.