Jangan harap perlindungan jika ada terbabit kes rasuah - PM Anwar

Hafiz Marzukhi
November 12, 2024 19:02 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan sidang akhbar sempena lawatan rasmi empat hari ke Mesir hari ini. - Foto BERNAMA
KAHERAH: Tiada perlindungan akan diberikan bagi sesiapa yang terbabit dalam kes rasuah.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada perlindungan akan diberikan kepada sesiapa yang terbabit dalam kes rasuah, termasuk pemberi maklumat.
  • Dasar Kerajaan MADANI hanya memberi perlindungan kepada mereka yang bersih dan tidak terbabit dengan unsur rasuah.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan kewujudan pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan tentang menerima suapan rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk jika individu berkenaan mahu menjadi pemberi maklumat bagi membongkar mana-mana kes rasuah.
“Tolong beri ruang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereka jalankan siasatan teliti terhadap semua kes termasuk skandal rasuah membabitkan kes lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” kata beliau.
Anwar merujuk kepada laporan media tentang lapan ADUN yang meminta wang sebagai balasan sokongan kelulusan projek.
Tambah beliau, Dasar Kerajaan MADANI adalah jelas iaitu perlindungan hanya diberi kepada mereka yang bersih dan langsung tidak terbabit dengan unsur rasuah.
“Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah, ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” kata beliau pada sidang media pengakhir bagi lawatan rasminya selama empat hari di Mesir hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kewujudan seorang pemberi maklumat bagi kes klip video beberapa ADUN membincangkan tentang menerima suapan rasuah.
Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.
Mengulas perkara itu, Anwar berkata, beliau tidak menerima sebarang surat daripada mana-mana individu yang meminta perlindungan daripadanya kerana masih berada di Mesir ketika ini.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #perlindungan #pemberi rasuah #SPRM #terkini
;