Jangan hanya haram, tapi pantau penyebaran komik kontroversi - MPMMK
Astro Awani
Oktober 25, 2019 14:31 MYT
Oktober 25, 2019 14:31 MYT
Kerajaan perlu melakukan pemantauan secara rapi bagi memastikan komik kontroversi “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang baru diharamkan tidak disebarkan secara senyap-senyap oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap komik kontroversi itu, namun penyebarannya dibimbangi tetap berlaku kerana masih ada suara-suara termasuk dalam kalangan ahli politik yang menentangnya.
"Kenapa ada suara-suara yang menentangnya walaupun KDN telah membuat keputusan mengharamkan komik itu? Sudah tentu ada agenda pihak tidak bertanggungjawab di sebalik penerbitan dan pengedaran komik itu.
"Jadi, tindakan tegas perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menyekat penyebaran komik kontroversi itu yang jelas tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA: Komik progapanda cubaan jahat nafikan sejarah Tanah Melayu - Ulamak Pas
Pada Rabu, KDN telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi “Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama,” bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dalam satu kenyataan susulan, KDN berkata, larangan itu dikuatkuasakan ekoran kandungan penerbitan mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan orang awam, serta mungkin menggemparkan fikiran masyarakat.
Kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai perjuangan komunis, serta membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan fahaman itu.
Haslihelmy berkata, MPMMK bimbang penyebaran komik kontroversi berkenaan boleh memecahbelahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Sebagai rakyat negara ini, kita tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik seharusnya perlu memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh.
"Perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama," katanya.