"Jangan hanya dengar cakap orang, tanya sendiri pihak bertanggungjawab"

Syah Hairizal Kamalul Arifin
September 19, 2020 18:47 MYT
Siti Karimah Saharani bersyuku dengan bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada usahawan sepertinya. - Gambar Astro AWANI
Minat yang mendalam terhadap kecantikan sejak usia belasan tahun telah menjadikan seorang suri rumah menjadikan bidang itu sebagai sumber pendapatan utama.
Siti Karimah Sarahani, 43, berkata, dia sangat gemar terhadap bidang berkenaan dan mula berjinak-jinak dengan dunia tersebut dengan bekerja sebagai jurujual produk kecantikan sebelum mengasaskan perniagaan sendiri.
"Saya bermula sebagai jurujual biasa dalam bidang kecantikan, ada sikit-sikit menyimpan sebelum buka perniagaan sendiri,” katanya yang ditemui di premis perniagaannya di KK Plaza, Kota Kinabalu baru-baru ini.
Menurut Siti Karimah, perniagaan yang dimulakan pada 2007 itu mendapat sambutan baik daripada pelanggan saban tahun sehinggalah wabak Covid-19 mengujinya.
Bagaimanapun, dia sangat bersyukur kerana ketika perniagaannya terkesan akibat pandemik berkenaan, bantuan yang diperoleh daripada kerajaan memberikan kelegaan.
"Masa dalam keadaan begitu (penularan COVID-19), kita susah hati dan sedih sebab tidak dapat berniaga. Semua (kedai) tutup, jadi memang susah tapi bila kerajaan umumkan ada bantuan untuk menjana pendapatan untuk perniagaan melalui Tekun Nasional, kita mohon," ujar Siti Karimah.
Siti Karimah berkata, pada mulanya dia agak sangsi dengan permohonannya di agensi tersebut kerana tidak yakin akan berjaya.
"Memang dalam hati ada terfikir tidak akan dapat (bantuan) sebab bukan kita seorang sahaja yang berniaga. Tapi Alhamdulillah bila kita mohon, dalam tiga minggu begitu lulus,” katanya.
Dia yang sangat teruja dengan bantuan yang diberikan kerajaan itu turut menasihatkI rakan-rakan peniaga yang lain agar turut mengikut jejaknya dengan memohon bantuan pinjaman daripada Tekun Nasional Dan Amanah Ikhtiar.
Kepada rakan-rakan perniagaannya, Siti Karimah ingin menasihatkan mereka agar jangan sesekali mendengar cakap pihak yang tidak berkepentingan dan tidak arif mengenai pengumuman-pengumuman kerajaan untuk membantu golongan usahawan.
Apa yang paling utama, katanya, terus berkunjung ke pejabat agensi-agensi kerajaan yang menawarkan bantuan untuk mendapat dan mendengar sendiri maklumat.
"Kerajaan sekarang banyak membantu dan kerajaan sekarang sangat prihatin.
"Banyak peniaga yang kerajaan sekarang sudah bantu contohnya macam Tekun… (kerajaan) memang sangat prihatin. Kerajaan bagi kita bantuan untuk menjana balik pendapatan dan untuk kita memulakan (kegiatan) ekonomi.
"Pendapat saya pergi jumpa dulu, Tekun ke Amanah Ikhtiar dan tanya mereka sendiri," katanya.
#cerita rakyat sabah #Kota Kinabalu #pandemik #PRN Sabah #Sabah #Sabah Memilih #Siti Karimah Sarahani
;