Jangan hampiri kawasan pantai ketika musim tengkujuh
Bernama
November 1, 2016 08:43 MYT
November 1, 2016 08:43 MYT
Orang ramai yang berkunjung ke pantai Kampung Tanjung Gelam, di sini untuk melihat fenomena rumpai laut merah dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mengabaikan keselamatan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Supt Suffian Sulaiman berkata ia berikutan kedudukan penemuan rumpai tersebut yang berhampiran dengan laut, boleh mengundang pelbagai kemungkinan terutama dalam kalangan kanak-kanak.
"Jangan terlalu ghairah dengan mengunjungi lokasi seperti itu apatah lagi dengan keadaan ombak besar dan hujan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Sejak Jumaat lepas, kawasan tersebut dikunjungi orang ramai untuk melihat hampir 300 meter pantai dilimpahi rumpai laut merah.
Sementara itu, hari ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang membuat kajian ke atas rumpai itu, mengesahkan ia tidak beracun namun menasihatkan orang ramai supaya tidak memegangnya terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kulit. - Bernama