'Jangan hampiri kawasan air pasang besar' - Ketua Kampung Batu 4

Wan Syamsul Amly
Oktober 18, 2016 15:28 MYT
Ketua Kampung Batu 4, Mohd Samsidi Sudri berkata, penduduk harus mengikut semua arahan anggota keselamatan sepanjang bencana melanda kampung mereka. - Foto Astro AWANI / Wan Syamsul Wan Amly
Penduduk yang dipindahkan akibat ban yang pecah di Kampung Batu 5, Jalan Kapar diminta bersabar dan sentiasa mengelakkan diri dari risiko air pasang besar.
Ketua Kampung Batu 4, Mohd Samsidi Sudri berkata, penduduk harus mengikut semua arahan anggota keselamatan sepanjang bencana melanda kampung mereka.
"Kejadian ini yang Allah beri kepada kita, kena reda, kena terima sambil kita berusaha elakkan mana-mana yang bawa kepada keburukan.
"Jangan ke lokasi air pasang besar semasa ia di saat maksimum nanti, jauhkan diri. Pada masa itu mungkin bomba atau orang lain terlepas pandang dan kita mungkin terkena akibat yang tidak baik," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Datuk Ahmad Razali di sini hari ini.
Mohd Samsidi mengulas kejadian ban yang pecah di Kampung Batu 5, Jalan Kapar akibat fenomena air pasang besar pada Isnin.
Kira-kira 60 keluarga dengan 160 orang berada di pusat pemindahan banjir di Dewan Datuk Ahmad Razali.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Selangor, jumlah penduduk yang dipindahkan ekoran fenomena air pasang besar di Selangor, meningkat kepada 482 orang berbanding 459 orang malam tadi.
Peningkatan itu membabitkan penduduk Kampung Batu 5, Kapar, Klang, yang sebahagian besarnya ditempatkan di Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali.
Sehingga 9 pagi Selasa, jumlah mangsa yang berada di pusat itu adalah sebanyak 152 orang berbanding 133 pada malam Isnin.
Selain Dewan Serbaguna Datuk Ahmad Razali di Kapar, terdapat empat lagi pusat pemindahan dibuka di negeri ini ekoran fenomena tersebut iaitu Dewan Serbaguna Kampung Tok Muda juga di Kapar yang menempatkan 236 orang, Dewan Seri Sekinchan (dua orang), Dewan Sungai Air Tawar (63 orang) dan Dewan Parit Baru (29 orang) di Sabak Bernam.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bencana Negeri Selangor Ahmad Afandi Mohamad, dalam kenyataan berkata ban Sungai Keramat yang pecah di Kampung Batu 5 akibat air pasang besar awal pagi tadi akan dibaiki serta merta dan kawasan itu kini dalam pemantauan agensi keselamatan.
Sebelum ini, Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Amer Haizal Sahak meminta penduduk yang terlibat dengan fenomena air pasang besar tidak perlu risau dengan kenaikan paras air yang dilaporkan.
Jelasnya, situasi yang masih lagi terkawal sehingga kini selain pemantauan berterusan daripada pihak berkenaan walaupun fenomena air pasang besar di Kapar mencatat kenaikan paras air 5.6 sehingga 5.7 meter pada Isnin.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui ban yang pecah di Kampung Batu 5, Jalan Kapar akibat fenomena air pasang besar bukan fokus utama penambahbaikan ban dalam peruntukan segera RM4.3 juta yang diluluskan bulan lepas.
Ini kerana, pihaknya lebih memberi tumpuan kepada ban-ban di kawasan lain yang dilihat lebih berisiko dan memerlukan pengukuhan segera berbanding ban pecah berkenaan.
#Fenomena pasang besar #Jalan Kapar #Kampung Batu 4 #pasang besar
;