'Jangan hampakan hasrat kami untuk bertanding di peringkat dunia' - Kor Kadet VI
Astro Awani
April 23, 2015 08:22 MYT
April 23, 2015 08:22 MYT
Impian pasukan pancaragam Kor Kadet Victoria Institution (VICCB) untuk beraksi di 'World Association of Marching Bands Championship' hanya akan tercapai seandainya mereka mempunyai dana cukup untuk pertandingan berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa VICCB, Azhar Abdul Samad berkata, bagaimanapun jika dikira dari sudut kewangan mereka kini, impian berkenaan hanya tinggal harapan jika mereka tidak berjaya mendapatkan sumber kewangan ke pertandingan itu.
"Pasukan VICCB telah berusia lebih 100 tahun dan sering mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dalam pelbagai pertandingan.
"Antaranya, juara dunia World Championship for Marching Ensemble Competition di Kuala Lumpur pada tahun 2004, Naib Johan Dunia World Championship for Marching Show Bands, Monza, Itali tahun lalu dan banyak lagi.
"Kami telah membuat persediaan latihan setiap hari dan menyimpan keyakinan dengan sokongan semua pihak impian itu mampu direalisasikan," katanya kepada Astro AWANI di sini.
World Association of Marching Bands Championship di Copenhagen Denmark akan berlangsung pada 1 hingga 5 Julai ini.
Kata Azhar, dana yang diperoleh setakat ini masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pengurusan ahli serta tenaga pengajar VICCB.
"Kumpulan kami seramai 90 orang, jumlah yang dianggarkan adalah kira-kira RM400,000 bagi membolehkan pertandingan berprestij itu disertai.
"Sumbangan itu amat diperlukan terutamanya dalam urusan pembelian tiket penerbangan, yuran penyertaan, penginapan serta makan minum sepanjang penyertaan," jelasnya.
Katanya lagi, VICCB mengalu-alukan sumbangan dan tajaan daripada badan korporat; kerajaan; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu bagi menampung kos mereka untuk pertandingan berkenaan.
"Dana itu turut diperlukan bagi kelengkapan pakaian seragam dan penyelenggaraan alat muzik.
"VICCB turut mengalu-alukan tajaan bekas pelajar dan sumbangan boleh dibuat atas nama Yayasan VIOBA dan akan mendapat pengecualian cukai," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah Seksyen Drum, Mohd. Arrif Salleh Aludin,17, mereka menyimpan seribu impian agar dapat menyertai pertandingan itu dan mengharumkan nama negara sekali lagi.
"Kami telah membuat persediaan latihan setiap hari dan menyimpan keyakinan dengan sokongan semua pihak impian itu mampu direalisasikan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi guru penasihat pancaragam VICCB, Hasnani Abdul Samad di talian 019 2027029.