Jangan hadir perhimpunan Bersih 4.0 esok - KPD Kota Kinabalu

Bernama
Ogos 28, 2015 17:18 MYT
Menurut polis, tindakan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman boleh dikenakan terhadap penganjur dan menurut Seksyen 4(2)(c) akta yang sama terhadap peserta perhimpunan itu.
Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi nasihat supaya tidak menghadiri perhimpunan Bersih 4 yang dijangka diadakan di Taman Awam Teluk Likas esok kerana ia menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata perhimpunan berkenaan dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan sekiranya keadaan tidak terkawal disebabkan provokasi pihak yang menghadirinya.
"Perhimpunan ini jika diadakan akan memberi kesan negatif kepada keadaan ketenteraman awam khususnya terhadap lalulintas dan keselesaan pengunjung taman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chandra berkata tindakan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman boleh dikenakan terhadap penganjur dan menurut Seksyen 4(2)(c) akta yang sama terhadap peserta perhimpunan itu.
Kedua-dua seksyen berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.
#ACP M Chandra #bersih 4 #Kota Kinabalu #polis #tindakan tegas
;