Jangan gusar, sedih tidak dapat rai Aidilfitri seperti kelazimannya - Agong

Faris Danial Razi
Mei 23, 2020 20:07 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat untuk tidak merasa gusar, dan sedih kerana tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti kelazimannya. - Foto Ihsan RTM
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak rakyat untuk tidak merasa gusar, dan sedih kerana tidak dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri seperti kelazimannya.
Baginda bertitah, rakyat Malaysia sewajarnya rasa bersyukur meskipun kedatangan bulan Ramadan dan bulan Syawal pada tahun ini disambut dalam suasana yang agak berbeza.
“Rakyat hendaklah bergembira dan bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan dan kekuatan untuk menyambut kedatangan 1 Syawal dengan keluarga tercinta dan insan yang disayangi.
“Rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur kerana selama hampir dua bulan telah mempamerkan tahap disiplin dan berdaya tahan yang tinggi di samping penuh sabar sepanjang menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” titah baginda.
Sementara itu, baginda turut mengingatkan bahawa banyak pengajaran yang dapat dipelajari dalam menghadapi wabak COVID-19.
“Kita mempelajari bahawa sesuatu virus atau sakit boleh menyerang manusia dengan tanpa mengira pangkat mahupun darjat.
“Kita juga harus insaf bahawa kesihatan yang dikurniakan Allah SWT adalah sesuatu kurniaan yang tidak ternilai harganya.
“Wabak COVID-19 ini turut mengajar kita bahawa setiap manusia mempunyai ikatan pertalian hubungan yang rapat antara satu dengan yang lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agama," ujar baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung di semua televisyen tempatan pada malam Sabtu.
Dalam pada itu, Seri Paduka juga menyeru rakyat Malaysia agar menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak COVID-19.
“Beta amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada lebaran ini, terutamanya kepada petugas perkhidmatan kesihatan, anggota Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara,” titah Seri Paduka.
#Aidilfitri #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Angkatan Tentera Malaysia #COVID-19 #hari raya #kesihatan #koronavirus #Polis Diraja Malaysia #rakyat Malaysia #Ramadan #Yang di-Pertuan Agong
;