Jangan guna soket dengan kelengkapan elektrik berlebihan - Suruhanjaya Tenaga

Bernama
April 27, 2022 14:23 MYT
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban yang tinggi. - Gambar hiasan/Unsplash
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihati orang ramai agar tidak menggunakan soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau beban yang tinggi ketika melakukan persiapan menyambut Aidilfitri.
Selain itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa memastikan alat pengesan kebocoran gas berfungsi dengan baik serta tidak meletakkan barang-barang yang panas di atas silinder atau membaringkan silinder gas ketika memasak.
Itu adalah antara tip keselamatan penggunaan elektrik dan gas yang dikeluarkan ST hari ini sempena sambutan Aidilfitri memandangkan penggunaan elektrik dan gas dijangka meningkat ketika perayaan.
Dalam panduan keselamatan itu, ST turut meminta orang ramai untuk menggunakan peralatan dapur gas yang diluluskan dan mempunyai label keselamatan SIRIM-ST.
"Pastikan peralatan dapur gas dalam keadaan sempurna dan injap gas ditutup sekiranya anda pulang ke kampung atau meninggalkan rumah," menurut ST yang menasihatkan orang ramai agar memastikan peralatan elektrik dalam keadaan sempurna dan tidak mengubah suai peralatan elektrik yang rosak.
-- BERNAMA
#soket elektrik #gas silinder #Suruhanjaya Tenaga #Aidilfitri
;