Jangan guna media sosial bincang kes Muhammad Adib - Timbalan Menteri
Abd Razak Mohd Ali
Mac 24, 2019 13:26 MYT
Mac 24, 2019 13:26 MYT
Semua pihak diminta tidak menggunakan media sosial untuk menyebarkan apa juga maklumat berkaitan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Maklumat berkaitan kes itu boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam prosiding mahkamah yang sedang berlangsung, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.
Menurutnya, penggunaan media sosial akan menimbulkan pelbagai spekulasi, sekali gus boleh mengganggu siasatan.
"Saya menyeru kepada sesiapa yang ada maklumat berkenaan kes Muhammad Adib supaya menggunakan platform yang sesuai untuk mengutarakan pandangan mereka.
"Khususnya oleh kerana, inkues sedang berlangsung, dan mereka boleh volunteer untuk tampil ke depan untuk memberi maklumat melalui inkues, supaya kita boleh mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku.
"Itu yang paling penting untuk pihak kita. Yang paling penting adalah supaya kita mengenal pasti apakah kebenaran sebenar berkenaan kes Muhammad Adib ini," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan seorang jururawat yang tular di media sosial, kononnya pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi membuat kenyataan tidak tepat pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib yang dijalankan di Mahkamah Koroner.
Pada Jumaat, Dr Ahmad Hafizam yang merupakan saksi ke-24 berpandangan corak kecederaan dialami Muhammad Adib tidak padan dengan akibat dipukul berikutan kecederaan pada rongga dada bukan seperti biasa dialami seseorang yang dipukul dengan objek tumpul, ditendang atau ditumbuk.
Susulan itu, seorang jururawat yang mendakwa merawat Muhammad Adib menulis beberapa komen di laman sosial Facebook menyatakan bahawa kecederaan dialami anggota bomba itu adalah disebabkan oleh ‘violence’ (keganasan).
Bagaimanapun, pada Sabtu, jururawat berkenaan membuat permohonan maaf dan membetulkan kenyataannya.
Dia juga berharap pihak yang menularkan dakwaan itu agar memadamkannya.
Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada 17 Dis, 2018.
#Ahmad Hafizam Hasmi
#bahan bukti
#bomba
#Facebook
#inkues
#kecederaan
#Lee Boon Chye
#mahkamah
#mahkamah koroner
#media sosial
#meninggal dunia
#Muhammad Adib Mohd Kassim
#pakar forensik
#prosiding mahkamah
#Subang Jaya