Jangan guna isu perkauman sebagai senjata politik - PM

Asyraf Malik
Mac 7, 2025 15:50 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ternas Jernang, Bandar Baru Bangi. - Foto Bernama
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu perkauman sebagai senjata politik untuk memenangi sokongan atau menjatuhkan lawan.
Ia berikutan beberapa isu berkaitan 3R (Kaum, Agama dan Raja) dibangkitkan sejak kebelakangan yang mencetus pelbagai polemik.
Menurut Anwar, sesuatu isu sensitif seharusnya diselesaikan mengikut jalur atau platform yang sudah ditetapkan dalam perundangan.
“Mana-mana parti atau kepimpinan masyarakat janganlah tunggang isu ini (perkauman) untuk kepentingan peribadi kerana jika diteruskan ia akan membakar dan memusnahkan rakyat.
“Sikap kerajaan harus tegas, sebarang penghinaan dan merendahkan darjat manusia tidak dibolehkan, apatah lagi dalam negara kita yang pelbagai kaum dan agama.
“Islam adalah agama Persekutuan, kita martabatkan, namun tetap juga kita harus jaga keharmonian,” ujar Anwar ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ternas Jernang, Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.
#Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #isu perkauman #M Saravanan
;