KUALA LUMPUR : Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak menggunakan aksesori 'dummy buckle' yang menjadi penyah aktif penggera tali pinggang keledar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim berkata, orang ramai perlu terus memakai tali pinggang keledar bagi memastikan keselamatan di jalan raya.

"Ramai sangat yang cuba untuk tidak memakai tali pinggang dengan memakai dummy buckle yang boleh didapati di kedai-kedai dengan harga yang murah.

"Dummy buckle  menyebabkan (sistem keselamatan kenderaan) hilang bunyi, dan ia boleh 'hilangkan kita' (kemalangan maut).

"Jadi berhati-hatilah di jalan raya, pakai tali pinggang dan semoga  kita selamat sampai," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

  
 
Dalam pada itu, menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan, orang ramai diingatkan agar membuat perancangan rapi sebelum memulakan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Khairil Anwar berkata, ia termasuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik.

"Saya rasa yang penting ialah tayar kenderaan, kalau tidak diisi (angin) bayangkan apa terjadi.

"Kita juga kena tengok enjin kenderaan, air dan minyak hitam. Cari bengkel kenderaan kalau ada masalah.

"Kalau semua baik, tawakkal dan berdoa agar perjalanan kita selamat," ujarnya lagi.