Jangan guna bahan kualiti rendah bina infrastruktur di Pahang - Tengku Abdullah
Bernama
Februari 5, 2018 16:54 MYT
Februari 5, 2018 16:54 MYT
Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Ahmad Shah mengingatkan semua pihak yang diberikan projek untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di negeri ini supaya mengikuti spesifikasi dan tidak menggunakan bahan binaan berkualiti rendah.
Tengku Abdullah bertitah ini bagi membolehkan kesemua kemudahan yang dibina itu dapat bertahan lama untuk kegunaan rakyat dan tidak ada kejadian tidak dingini sehingga mengakibatkan kerosakan harta benda mahupun kehilangan nyawa.
"Saya harap pada masa akan datang kita jangan ambil mudah tentang pembinaan projek infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan awam lain seperti bangunan, bekalan elektrik, dan tangki air.
"Saya tidak mahu pembinaan infrastruktur awam ini dibina secara sub standard atau kualiti murah kerana mengutamakan keuntungan, biarlah menggunakan kualiti baik supaya pembinaan bertahan lama.
"Kalau perhatikan bangunan lama walaupun dari luar nampak buruk tetapi masih kukuh dan tegap, inilah yang saya mahukan, jadi jangan bina infrastruktur di Pahang dengan bahan kualiti rendah... please take note (tolong ambil perhatian)," titah baginda selepas melawat cerun runtuh di KM30 Jalan Sungai Koyan-Ringlet di sini hari ini.
Turut mengiringi baginda dalam lawatan itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ir Abdul Jalil Mohamed.
Cerun di jalan utama yang menghubungkan penduduk negeri ini dengan Cameron Highlands itu runtuh pada 2.30 petang Sabtu lalu ekoran kegagalan sistem pembentung berfungsi dengan baik menyebabkannya patah melemahkan struktur tanah berhampiran.
Ini melibatkan kawasan seluas 55 meter panjang dan 5.7 meter lebar dan menyebabkan penduduk di beberapa buah perkampungan Orang Asli berhampiran risau dengan keselamatan mereka apabila menggunakan jalan itu.
Dalam masa yang sama baginda turut mengingatkan pihak berkenaan termasuk JKR sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa terhadap jalan raya di negeri ini terutama di kawasan cerun dan tanah tinggi.
"Saya harap soal pemantauan di jalan raya di sekitar bukit harus dilakukan secara rapi... hal ini harus diberikan perhatian jangan bina di kawasan tanah lembut atau mempunyai struktur yang lemah.
"Macam kejadian hari ini kita dapati memang ada sedikit kelemahan, saya harap ia jadi pengajaran kepada JKR supaya kita perhalusi projek seumpama ini dan ia bertahan lama bukan hanya 10 tahun, tetapi lebih lama daripada itu.
"Saya pun hairan kenapa jalan raya sekarang tidak tahan lama," titah baginda.
Sebelum itu baginda telah diberikan penerangan dan taklimat tentang kejadian berkenaan oleh Abdul Jalil yang turut memaklumkan terdapat enam lagi lokasi yang berbahaya termasuk tanah mendap yang sedang dipantau dan akan dibaikpulih oleh JKK.
Semasa mengadakan lawatan itu, Tengku Abdullah sempat menghubungi Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof untuk memaklumkan perkara itu dan berharap kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan segera.
Difahamkan Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan segera untuk melakukan kerja-kerja baik pulih itu.
-- BERNAMA
#Abdul Jalil Mohamed
#bukit
#Cameron Highlands
#cerun
#Fadillah Yusof
#Infrastruktur
#jalan raya
#Jalan Sungai Koyan
#Orang Asli
#Pahang
#pembentung
#projek
#ringlet
#Tengku Abdullah Ahmad Shah