Jangan guna agama selindung kezaliman - Che Puan Khaleeda

Astro Awani
September 12, 2024 22:04 MYT
Che Puan Khaleeda dengan tegas bertitah, agama seharusnya menjadi asas kepada kasih sayang, perlindungan serta kesejahteraan masyarakat.
KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan kejam terhadap kanak-kanak harus diambil tindakan tegas dan tidak boleh disembunyikan atas dasar agama.
Isteri Tunku Mahkota Johor, Che Puan Mahkota Khaleeda Bustamam bertitah, cubaan untuk menggunakan agama sebagai alasan bagi perbuatan zalim bukan sahaja menghina undang-undang tetapi turut mencemar kesucian agama.
Menerusi catatan di media sosial, Che Puan Khaleeda dengan tegas bertitah, agama seharusnya menjadi asas kepada kasih sayang, perlindungan serta kesejahteraan masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.
"Setiap agama menuntut keadilan bagi mereka yang tidak berupaya mempertahankan diri.
"Justeru, apabila jenayah sekeji ini berlaku, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang kompromi," titah baginda sebagai reaksi balas terhadap laporan berkenaan rumah amal yang dipercayai menjalankan aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan pemerdagangan manusia.
Selain daripada tindakan undang-undang, baginda juga menyeru kerajaan agar mengambil langkah proaktif untuk memperkukuh pemantauan ke atas rumah amal dan institusi penjagaan kanak-kanak lain, serta menjalankan proses pengauditan dan pemantauan secara berkala.
Baginda turut menggesa semua pihak termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai bersama-sama memainkan peranan dalam melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan.
Dalam masa yang sama, Che Puan Khaleeda turut menggesa pihak berkuasa memastikan nasib kesemua 402 mangsa itu dalam keadaan yang lebih baik.
"Saya juga berharap agar pihak berkuasa memastikan nasib atau kehidupan 402 mangsa itu berada pada keadaan yang lebih baik dan terjamin.
"Langkah-langkah pemulihan serta sokongan psikologi dan sosial harus diberikan dengan segera untuk membantu mereka daripada trauma yang dialami akibat eksploitasi ini," titah baginda.
#Kanak-kanak #eksploitasi #pemerdagangan manusia #che puan mahkota khaleeda
;