'Jangan gopoh buat keputusan' - Tengku Zafrul titip pesan kepada para pelajar
Faida Rahim
Januari 7, 2024 16:10 MYT
Januari 7, 2024 16:10 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkongsi tip buat para pelajar yang baru menamatkan zaman persekolahan.
Tengku Zafrul ketika ditemui di majlis pelancaran Mooda Fest 2024 di Rumah Tangsi, di sini memaklumkan anak muda tidak perlu gopoh membuat keputusan selepas tamat persekolahan.
“Bila habis belajar, dapatkan ijazah. Jangan gopoh, don’t be too rushed in making decision.
"Ini kerana sekarang kita lihat banyak peluang pekerjaan (tetapi) ada yang mahu bekerja sendiri, ada yang mahu jadi profesional. Saya difahamkan ramai yang memilih untuk menjadi usahawan 'online'.
“Penting, bila buat pilihan jangan takut kalau buat salah. Kerana anda masih muda,” katanya ketika berucap di hadapan 600 pelajar sekolah di sekitar Lembah Klang yang hadir pada acara tersebut.
Dalam pada itu, beliau juga berharap anak muda lebih berminat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan.
“Jangan fikir nak kerja dulu. Ramai yang saya tahu, mereka belajar setengah jalan.
"Saya faham memang ada banyak peluang kerja sebenarnya cuma saya harap anak muda berjaya dalam pembelajaran seterusnya menempa kejayaan di alam pekerjaan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Kretip Malaysia, Nur Fazzila Rahim memaklumkan acara tersebut berjaya menyatukan lebih 3,000 belia di ibu negara.
“Inisiatif acara pada hari ini untuk memperkasakan golongan belia dan mengajak mereka melakukan aktiviti antaranya forum dengan tema nostalgia zaman sekolah.
“Ini termasuk tiga kelas forum terbuka melibatkan tiga kategori utama iaitu kepimpinan, keusahawan dan kesihatan mental,” katanya.
Acara tersebut turut diserikan persembahan barisan artis popular antaranya Bunkface, Bunga Isme, Kumpulan FLQ dan Orkes A Hizadin.