'Jangan gelar anak saya 'monyet' dia terasa' - Ibu kanak-kanak 'berbulu'

Vivi Sumanti
Oktober 10, 2018 13:05 MYT
Nurul Afidah ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya di Bachok, Kelantan. - Sumber foto Astro AWANI
Itu permintaan ikhlas seorang ibu apabila anaknya sering diejek dengan panggilan 'monyet' oleh rakan-rakan sebayanya.
Nurul Afidah Baltisya Razi, 10 tahun yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kemudi di Bachok sering berkecil hati apabila digelar sedemikian.
Harapan Nurul Afidah, menurut ibunya, Asliza Omar, 36 tahun, hanya untuk menjalani kehidupan biasa seperti kanak-kanak sebaya yang lain.
"Dulu dia selalu tanya, kenapa dia berbulu. Saya cakap dia comel. Di sekolah dia rajin belajar," kata Asliza, ketika ditemui Astro AWANI di sini, baru-baru ini.
Seorang kanak-kanak yang badannya berbulu dan menjadi perhatian suatu ketika dahulu, kini sudah boleh menyesuaikan dirinya dengan rakan-rakan di sekolah.
Walaupun sebelum ini penampilannya dianggap ganjil serta menjadi bahan ejekan rakan sekelas, namun semuanya ditempuhi dengan semangat untuk menimba ilmu.
Bahkan, Afidah merasakan dirinya unik dan berbeza dengan rakan lain.
Menurut Asliza lagi, anak ketiga dari lima beradik ini dilahirkan dengan keadaan badan dan muka berbulu.
"Sebelum ini, Afidah rasa malu untuk bertemu dengan sesiapa, namun kini dia lebih bersemangat, lebih matang, aktif di sekolah bahkan peramah dengan sesiapa," kata Asliza.
Katanya, anaknya tidak mengalami sebarang penyakit kulit; hanya kerana hormon yang dimilikinya menyebabkan dia dilahirkan dalam keadaan berkenaan.
"Dulu dia selalu tanya, kenapa dia berbulu. Saya cakap dia comel. Di sekolah dia rajin belajar.
"Ada sekali ketika dia Tahun Satu, dia pernah melenting di sekolah sebab ada budak ejek dia. Sekarang, dia dah cerdik, kalau ada sesiapa ejek dia, dia akan mempertahankan dirinya," ujar Asliza.
Jelasnya, anaknya kini tidak lagi bersedih sekiranya diejek, bahkan dia akan menjawab, dirinya cantik dan unik.
Ayah Afidah, seorang nelayan, juga banyak memberikan semangat kepadanya, kata Asliza.
Tambahnya, anaknya itu meminati seni tarian dan aktif bersukan terutama lumba lari bahkan ringan tulang apabila diminta membantu dalam rumah.
#Bachok #bulu badan #hipertrikosis #hypertrichosis #Kanak-kanak #nurul afidah #sekolah
;