Jangan ganggu dinamik hala tuju Johor - Bastien

Astro Awani
Februari 23, 2017 22:52 MYT
BASTIEN: Mana-mana pemimpin luar Johor diminta tidak membawa suara sumbang di negeri itu dengan perkara di luar norma masyarakatnya selama ini. - Gambar fail
Mana-mana pemimpin luar Johor diminta tidak membawa suara sumbang sekali gus menghasut rakyat di negeri itu dengan perkara di luar norma masyarakatnya selama ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, sikap negatif itu termasuk tidak peduli tentang cara kehidupan rakyat di negeri Johor sendiri.
"Ada pemimpin yang bukan dari kalangan bangsa Johor, cuba datang mencuba nasib di bumi bertuah ini tetapi tidak pula kena dengan acuan bangsa Johor.
"Malah mereka cuba pula menghasut rakyat di Johor ini dengan perkara-perkara di luar norma dan tidak ada kena mengena dengan cara kehidupan kami. Sudahlah begitu, kamu pula menjadi wakil suara sumbang mereka dari luar Johor.
"Janganlah sekadar hendak datang ke sini hanya berkehendakkan tempat tetapi langsung tidak mengambil peduli tentang cara kehidupan bangsa Johor, langsung tidak turun padang tetapi hanya sibuk membawa dakyah menghasut kami di sini," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Jaga hubungan baik kerajaan persekutuan dan negeri - Sultan Ibrahim
BACA: Jangan kacau politik Johor - Sultan Ibrahim
Bastien mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengingatkan pemimpin politik luar Johor untuk tidak mengelirukan atau memecah-belah perpaduan bangsa Johor dengan cuba masuk campur urusan politik negeri itu.
Baginda bertitah, rakyat negeri Johor telah menikmati hidup yang selesa dan ‘orang politik’ luar tidak perlu berlagak pandai atau mengajar apa yang negeri Johor patut lakukan.
Dalam pada itu jelas Bastien, titah Sultan Johor yang dijunjung oleh rakyat jelata di seluruh bumi Johor menggambarkan keadaan sebenar berhubung kedudukan rakyat yang selesa dengan pentadbiran Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dirgahayu oleh ke bawah Sultan Ibrahim.
"Kami bangsa Johor memang bangga dengan identiti kami serta kemajuan yang berlaku di Johor. Tidak perlulah kita menerima hasutan dan pandangan dari mereka yang jauh di luar sana yang tidak tahu apa-apa yang berlaku di negeri kami.
"Janganlah membawa dakyah dari luar ke negeri Johor dan cuba mengubah perasaan kami terhadap kepimpinan sedia ada. Keselesaan ini tidak dibina dengan sekelip mata. Ia dibina dengan muafakat, keringat dan kebijaksanaan bangsa Johor demi kemajuan.
"Apa yang kami mahukan adalah negeri Johor yang progresif dari segi ekonominya, kadar jenayah negeri yang rendah dan mutu pendidikan yang tinggi," ujarnya.
Tambahnya, perkara-perkara pokok seperti itu tidak boleh dicapai hanya dengan menghasut dan mengelirukan rakyat selain memberitahu, itulah yang sedang diusahakan oleh Mohamed Khaled serta kepimpinannya.
"Fundamental pemimpin yang berkenaan perlu jelas dalam perjuangan yang hendak di bawa untuk rakyat, bukannya menghasut dan menabur dakyah kerana itu tidak membawa kemajuan ekonomi. Johor tahu apa yang ingin dicapai.
"Keseragaman visi dan misi pimpinan Mohamed Khaled serta berkat naungan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim sentiasa menjadi keyakinan bangsa Johor bahawa negeri ini akan berjaya mencapai apa yang diimpikan," katanya.
#Bangsa Johor #BAstien #ekonomi johor #politik Johor #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor
;