'Jangan gambarkan saya memihak kepada kerajaan' - Pandikar Amin

Wan Syamsul Amly
Mac 9, 2016 17:13 MYT
Sebelum ini, Pandikar Amin mendesak dua ahli parlimen DAP, Ng Wei Aik (Tanjung) dan Lim Lip Eng (Segambut) untuk meletak jawatan sekiranya penambahbaikan Parlimen dilaksanakan dalam sesi persidangan awal tahun depan. - Gambar fail
Kelulusan tiga daripada empat cadangan pindaan penambahbaikan Parlimen membuktikan Tan Sri Pandikar Amin Mulia bukan seorang yang tidak adil, zalim dan memihak kepada kerajaan.
Kata Speaker Dewan Rakyat, ia termasuk kelulusan untuk memendekkan tempoh notis soalan lisan dari 14 hari ke 10 hari bekerja sebelum hari persidangan.
"Kerajaan turut meluluskan untuk diadakan kamar khas untuk urusan usul atau ucapan penangguhan iaitu perkara berkaitan kepentingan orang ramai yang difikirkan di bawah peraturan 18(1).
"Apa yang menjadi budaya sekarang adalah ahli berhormat tergesa-gesa keluar apabila saya menolak usul dan mereka membuat sidang media.
"Di dalam sidang media itu saya digambarkan tidak adil, zalim dan memihak kepada kerajaan walhal perkara itu tidak patut dibawa di bawah peraturan mesyuarat ke 18," katanya semasa sidang media mengenai penambahbaikan Parlimen di sini hari ini.
Sebelum ini, Pandikar Amin mendesak dua ahli parlimen DAP, Ng Wei Aik (Tanjung) dan Lim Lip Eng (Segambut) untuk meletak jawatan sekiranya penambahbaikan Parlimen dilaksanakan dalam sesi persidangan awal tahun depan.
Desakannya itu berikutan tuduhan dua ahli parlimen DAP berkenaan yang mendakwa Pandikar Amin gagal dan tidak menunaikan janji untuk membentangkan pembaharuan Parlimen.
Dalam pada itu jelas Pandikar Amin, kerajaan turut meluluskan untuk Parlimen mewujudkan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
"Sementara kerajaan masih menangguhkan cadangan teras pindaan keempat iaitu mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang baharu," jelasnya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan untuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri mengenai pindaan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet untuk meneliti pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Jelasnya mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN).
#BN #Pandikar Amin #Parlimen #Speker Dewan Rakyat
;