Jangan gah bangunan mencakar langit, tapi rakyat ikat perut, tidur berbumbung langit - Sultan Perak
Abd Razak Mohd Ali
Februari 23, 2024 10:30 MYT
Februari 23, 2024 10:30 MYT
IPOH: Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan.
Titah baginda, agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.
“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan kerajaan beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat.
“Usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada istiadat pembukaan rasmi Dewan Negeri Perak Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Tambahnya, usaha membasmi kemiskinan yang dirintis oleh kerajaan negeri Perak telah menyinarkan cahaya keyakinan.
Menurut baginda, berdasarkan data eKasih, jumlah kemiskinan tegar yang dikunci pada 31 Januari 2023 ialah seramai 9,402 Ketua Isi Rumah.
“Berdasarkan sumber data yang sama, sehingga 31 Disember 2023, jumlah tersebut telah menurun kepada 3,911 Ketua Isi Rumah, menunjukkan penurunan 58 peratus.
“Penurunan angka kemiskinan tegar ini disumbangkan oleh pelbagai faktor termasuk usaha dan inisiatif oleh pentadbiran daerah serta semua agensi pemberi bantuan yang memberikan komitmen yang tinggi.
“Semoga melalui kerjasama proaktif dari pelbagai pihak, merangkumi sokongan daripada badan-badan bukan kerajaan, tidak ada rakyat Beta yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negeri,” titah Sultan Nazrin.
Baginda bertitah, dalam usaha memakmurkan negeri, perlu diberikan perhatian kesalingan hubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat.
Menurut baginda, kesihatan yang baik bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keadaan holistik yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
“Perlu disedari health outcomes tidak ditentukan semata-mata oleh perkhidmatan kesihatan yang disediakan, sebaliknya tahap kesihatan seseorang dipengaruhi oleh penentu-penentu lain antaranya, tempat dilahirkan dan tempat membesar, begitu juga suasana hidup, bekerja dan menua.
“Untuk membina masyarakat berdaya tahan dan berkembang maju, terutama dalam persiapan menghadapi masyarakat negeri ini yang semakin menua, amatlah penting diberi perhatian kepada penentu-penentu sosial kesihatan,” tambah baginda.
Dalam masa sama, Sultan Nazrin bertitah, pendidikan ialah asas dalam usaha membentuk kesihatan yang baik kerana rakyat yang berpendidikan bukan sahaja berupaya membuat pilihan kesihatan yang bermaklumat, tetapi berupaya memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan negara.
“Pendidikan berperanan penting dalam usaha mengubah landskap kemiskinan, mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan dan menaik taraf kehidupan rakyat.
“Oleh itu pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan pelaburan untuk kesihatan dan kemakmuran rakyat,” titah baginda.
Walaupun dasar berkaitan pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Sultan Nazrin bertitah, kerajaan negeri juga boleh melaksanakan inisiatif untuk membantu memastikan kadar tinggi kehadiran murid ke sekolah, dan menyediakan pelbagai insentif untuk menarik minat murid agar terus berada di bilik darjah.
Baginda bertitah, tumpuan perlu diberikan kepada agenda pendidikan terutamanya kepada generasi kedua, agar kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi akan datang; sebaliknya akan berlaku mobiliti sosial keluarga ke tingkat yang lebih tinggi.