Jangan fikir soal siapa bakal MB -- Mukhriz

Astro Awani
Mac 22, 2013 11:19 MYT
Ahli UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) di Kedah digesa supaya tidak terlalu sibuk memikirkan siapa yang akan jadi Menteri Besar sekiranya BN berjaya mendapat semula mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan, apa yang penting sekarang ialah setiap seorang daripada mereka berusaha untuk memastikan BN menang di Kedah.
Katanya, soal bilakah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan serta siapa akan jadi calon juga bukan perkara yang harus terlalu dirunsingkan.
"Jangan fikir itu semua, yang kita harus fikir ialah buat kerja memenangkan calon, tak kira sesiapa pun. Itu saja … kalau pun ada rasa tak puas hati atas apa-apa sebab sekalipun," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mini Ekspo Mini MARA dan Kampungku Mahir Peringkat Kedah di sini.
Jelas Mukhriz, jentera BN perlu memberikan tumpuan kepada usaha mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihan raya yang dianggap getir serta melupakan soal siapa bakal jadi Menteri Besar kerana perkara itu hanya ditentukan selepas pilihan raya.
Beliau melihat PRU-13 nanti sebagai medan ujian kesetiaan ahli UMNO dan penyokong BN kepada parti.
Mukhriz mengulas spekulasi bahawa beliau akan bertanding kerusi DUN dan akan jadi Menteri Besar sekiranya BN menang pilihan raya negeri.
Sementara itu, Mukhriz berkata, beliau secara peribadi tidak kisah jika dicalonkan di mana-mana kawasan DUN dan menyerahkannya kepada Pengerusi BN negeri untuk menentukan.
#BN #Kedah #Mukhriz #PRU-13 #PRU13 #UMNO