Jangan eksploitasi rumah anak yatim kutip derma Ramadan
Bernama
April 15, 2022 20:30 MYT
April 15, 2022 20:30 MYT
KOTA BHARU: Pihak tertentu digesa tidak mengeksploitasi nama rumah anak yatim bagi tujuan mengutip derma terutamanya pada bulan Ramadan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata kerajaan memandang serius tindakan golongan tertentu yang mengambil kesempatan ke atas anak yatim di negara ini.
"Saya berharap pihak berkuasa mengambil langkah lebih tegas supaya ia tidak berleluasa.
"Sikap mereka yang mengambil kesempatan terhadap golongan lemah ini bukan sahaja tidak digemari oleh kerajaan, sebaliknya masyarakat juga tidak menyukainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Yayasan Dato' Che Abdullah Al-Lambori, di sini hari ini.
Turut hadir pengasas yayasan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat.
Mastura berkata pihaknya turut menyumbangkan sejumlah RM10,000 kepada yayasan tersebut bagi memberi sokongan merancakkan lagi usaha membantu golongan memerlukan.
-- BERNAMA