'Jangan doa ada PKP' - Muhyiddin
Essan Yahya
Oktober 13, 2020 18:55 MYT
Oktober 13, 2020 18:55 MYT
PUTRAJAYA: Kesan di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 adalah amat besar kepada rakyat dan negara.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia terutama yang terlibat dalam sektor ekonomi tidak mahu PKP dilaksanakan semula.
“PKP akan memberi kesan besar kepada rakyat dan ekonomi negara, saya tidak boleh gambarkan jika PKP ini belaku lagi di Malaysia.
“Kita terpaksa sediakan jumlah (peruntukan) yang besar, kita akan sentiasa melakukan yang terbaik dan penting bagi mengelakkan PKP lagi,” ujar Muhyiddin dalam sidang media menerusi video di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk melaksanakan perbincangan dua hala dengan China dalam pembekalan vaksin.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah tindakan yang proaktif.
Katanya, langkah segera perlu diambil dalam apa jua keadaan dan pelaksanaan tindakan proaktif seperti PKPB ini turut akan dilakukan di negeri-negeri lain jika keadaan memerlukan berdasarkan situasi penularan COVID-19.
#Muhyiddin
#PKP
#doa jangan ada
#PKPB
#langkah proaktif kerajaan
#tangani COVID-19
#kesan terhadap ekonomi