'Jangan derma pakaian buruk dan makanan dalam tin'

Arfa Yunus
November 13, 2013 17:41 MYT
Organisasi-organisasi kemanusiaan menyeru agar rakyat Malaysia menghulurkan bantuan bagi mangsa taufan Haiyan yang melanda timur Filipina.
Walaubagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya tidak menderma makanan dalam tin atau pakaian yang sudah buruk sebagai satu tempat untuk membuang barangan yang tidak diperlukan.
“Diharap semua menjadi lebih prihatin terhadap mereka yang berada dalam keadaan sengsara di sana. Pakaian yang sudah terkoyak rabak tidak dapat membantu mereka.
“Lebih elok jika anda menderma duit atau selimut memandangkan cuaca yang tidak menentu di sana,” kata jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Liza Ramli.
“Kami di PBSM lebih mementingkan bantuan dari segi wang, makanan dan minuman. Untuk pengetahuan orang ramai, mangsa taufan Haiyan di Filipina berada dalam keadaan terdesak sehingga tidak mempunyai bekalan air. Inilah keutamaan kami sekarang iaitu mendapatkan keperluan asas untuk mereka,” tambah Liza.
Bagi PBSM, skuad bantuannya akan diketuai oleh Naib Pengerusi Kebangsaan dan Pengerusi (Pengurusan Bencana Kebangsaan & Jawatankuasa Ambulans Kecemasan) Datuk Dr Bahari Abu Mansor dalam usaha menyelamat dan pemulihan bencana buruk itu.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Program dan Bantuan Islamic Relief Malaysia, Kamarul Halim Sakrani berkata, cara terbaik memberi bantuan adalah dengan menyumbang wang.
“Rakyat Malaysia memang prihatin apabila berlaku kejadian seperti ini. Tetapi, dengan menghantar pakaian, air minuman atau makanan dalam tin, ini sebenarnya lebih membebankan kerana dalam keadaan darurat seperti sekarang di Filipina, proses membawa masuk barangan berat adalah mustahil.
“Lebih baik jika orang ramai menderma wang dan pihak organisasi kemanusiaan akan membeli barangan keperluan di sana.
“Sebagai contoh, untuk ke Pulau Leyte, kami perlu bertolak dari Kuala Lumpur ke Manila, kemudian ke Cebu dan seterusnya baru ke Pulau Leyte. Perjalanan ini memakan masa dan kos yang tinggi,” kata Kamarul.
Beliau turut menerangkan bahawa tidak mudah untuk orang ramai menawarkan diri menjadi sukarelawan turut serta pergi ke Filipina memandangkan keadaan dan cuaca yang tidak menentu.
Ini kerana menurut beliau, semua agensi dan organisasi kemanusiaan seluruh dunia akan menghantar wakil mereka bagi menghulurkan bantuan di sana dan terdapat peruntukan bilangan wakil yang boleh dihantar oleh setiap negara.
“Wakil kami dari Indonesia kini sudah berada di sana untuk memberi lampu hijau sama ada wakil kami dari Malaysia dan England boleh turut serta dalam misi bantuan ini atau tidak. Ini kerana, gelombang kedua dijangka berlaku dan langkah berjaga-jaga perlu diambil,” tambah Kamarul.
#Haiyan #Islamic Relief #Malaysia #organisasi kemanusiaan #PBSM #taufan
;