Jangan dengar khabar angin, demam kepialu masih terkawal - Dr Subramaniam

Astro Awani
Oktober 22, 2015 18:47 MYT
Orang ramai adalah dinasihatkan agar mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan yang diambil. - Gambar Fail
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam meminta orang ramai agar tidak khuatir dengan situasi demam kepialu di ibu negara berdasarkan khabar angin yang tersebar ketika ini.
Jelas Subramaniam, penyakit demam kepialu yang merebak ketika ini masih di peringkat boleh dicegah dan dirawat dengan mudah.
"Penyakit ini sedia ada di Malaysia dan kita mempunyai kemudahan diagnosa serta antibiotik untuk mengesan dan merawat kes," jelas Subramaniam menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar mengutamakan kebersihan dan keselamatan yang diambil dengan memilih kedai atau gerai makan yang bersih.
Selain itu orang ramai diminta mengamalkan kebersihan diri di tahap optimum terutamanya mengamalkan tabiat membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.
"Tifoid merebak melalui makanan dan minuman tercemar dengan najis (transmisifaecal-oral) yang mengandungi bakteria Salmonella Typhi.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan agar mengutamakan kebersihan dan keselamatan makanan yang diambil," jelas beliau.
Subramaniam juga meminta orang ramai membuat pemeriksaan dan rawatan awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran sekiranya mengalami simptom awal demam kepialu bagi mengelakkan berlaku komplikasi dan mencegah berlakunya penularan penyakit ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada petang Khamis telah memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau kes demam kepialu di negara ini.
"Insya-Allah, penyakit ini boleh dirawat & dicegah. Utamakan kebersihan, terutama makanan dan minuman," kata Najib dalam satu catatan di Twitter peribadinya.

.@KKMPutrajaya akn pntau kes demam kepialu. Insya-Allah, penyakit ini blh dirawat & dicegah. Utamakan kebersihan, terutama makanan & minuman

— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak) October 22, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#demam kepialu #Dr S.Subramaniam #Najib Razak #salmonella typhi #Twitter
;