Jangan dekati pantai untuk tempoh 48 jam
Muhafandi Muhamad
Januari 2, 2019 19:01 MYT
Januari 2, 2019 19:01 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memberi amaran dan peringatan supaya orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti di tepi pantai dalam tempoh 48 jam bermula petang Rabu.
Pengarahnya, Nazili Mahmood berkata, sebarang kemungkinan tempias ribut Siklon Tropika membadai perairan pantai Kelantan ada asasnya selepas melihat keadaan laut yang bergelora serta angin yang kencang.
Katanya, tinjauan bomba di beberapa pantai di Kelantan mendapati ombak besar dan laut bergelora yang boleh membahayakan aktiviti di pantai dan laut.
"Kami buat tinjauan di Pengkalan Kubor dan Pasir Puteh untuk memberi nasihat kepada para nelayan dan masyarakat di persisir pantai, jangan sesekali berada di pantai dalam masa dua hari ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tak diingini,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, ribut berkenaan turut terkesan di kawasan pantai Kelantan melibatkan pantai di Tumpat, Pengkalan Chepa, Bachok dan juga Pasir Puteh bermula hari ini hingga esok.
Jangkaan angin antara 20-30 batu sejam bertiup kesan dari ribut berkenaan bakal melanda pesisiran pantai Kelantan yang akan menyebabkan laut bergelora serta ombak yang tinggi.
Tambahnya, JBPM telah mengarahkan pegawai dan anggotanya melakukan pemantauan dalam tempoh 48 jam di kawasan pantai bagi memberi peringatan kepada orang ramai.
Dalam perkembangan lain, JBPM Kelantan turut memaklumkan 28 kematian direkodkan akibat lemas dengan enam kes melibatkan kawasan pantai, sepanjang tahun lepas.